Wednesday, April 11, 2012
PTPTN : Persidangan Meja Bulat Mahasiswa Nasional Capai Matlamat - Khairy Khairy
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan Persidangan Meja Bulat Mahasiswa Nasional berhubung isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencapai objektif.
Menurut beliau persidangan berkenaan telah menghasilkan resolusi yang terbaik dalam mencari satu mekanisme berhubung isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Pemuda kalau nak senang kerja dan mengejar populis boleh sahaja kita penggil satu mesyuarat Exco dan minta dihapuskan PTPTN…Tetapi kita bukannya mahukan populis tetapi melihat perkara itu secara realistik.
“Atas dasar itu, kita jemput mahasiswa dan pihak PTPTN serta NGO untuk duduk bersama dalam rundingan meja bulat ini dan sama-sama mengeluarkan pendapat serta pandangan untuk kebaikan bersama.
“Alhamdulillah…..hari ini saya telah menerima resolusi berkenaan dan insyaallah saya akan bawa perkara yang dicapai sepanjang persidangan meja bulat ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk perhatian dan tindakan selanjutnya daripada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penutup Persidangan Meja Bulat Mahasiswa Nasional berhubung isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Hotel Vistana, di sini, hari ini.
Terdahulu sebelum itu, Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN menerima resolusi hasil rundingan meja bulat berkenaan daripada wakil mahasiswa, Wan Hazman Wan Yusof.
Khairy seterusnya menambah apa yang diutarakan oleh pembangkang untuk menghapuskan PTPTN itu adalah lebih kepada janji manis dan cadangan yang tidak realistik berbanding dengan apa yang dihasilkan menerusi rundingan meja bulat itu.
“Antara yang kita usulkan ialah daripada sudut pinjaman, aspek pembayaran dan beberapa aspek lain dalam usaha memastikan PTPTN terus dipertahankan kewujudannya bagi menjamin kelangsungan agenda pendidikan dan pembangunan negara.
“Inilah usaha kita untuk melihat dan mencari beberapa mekanisme yang terbaik dan bukannya bersikap hipokrot dan populis sepertimana pembangkang. Meja rundingan seperti inilah antara cara kita selesaikan masalah dan bukannya secara emosi.
“Janji manis dan cerita dongeng yang datang daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata mahu memenangi hati pengundi muda yang sekarang ini nampak kecenderungan mereka kepada BN.,” katanya.
Dalam ucapannya itu juga Khairy turut meminta pembangkang yang hari ini melaung-laungkan janji untuk menghapuskan PTPTN itu agar melaksanakannya di negeri yang dikuasai mereka.
“Jangan hanya sekadar dabik dada….Mereka boleh mulakan di Selangor dan Kedah yang ada UNISEL dan KUINS.
Hapuskan segala yuran dan berikan pendikan percuma.Buktikan dan jangan hanya sekadar cakap. Lagipun mereka dakwa reserve Selangor tinggi,” katanya.
RESOLUSI MEJA BULAT 10-11 APRIL 2012
SETELAH BERBINCANG BERHUJAH DAN MENELITI FAKTA-FAKTA YANG ADA SERTA SESI SINDIKET YANG DILAKUKAN BERSAMA-SAMA PTPTN MAKA KAMI AHLI-AHLI MEJA BULAT DENGAN INI SEBULAT SUARA MEMUTUSKAN BAHAWA PTPTN HENDAKLAH DIPERTAHANKAN KEWUJUDANNYA SERTA MENAMBAHBAIK FUNGSINYA BAGI PENJAMIN KELANGSUNGAN AGENDA PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN NEGARA.
DARI ITU KAMI BERPENDAPAT
DARI ASPEK PINJAMAN
1. MEJABULAT MENCADANGKAN BAYARAN PERKHIDMATAN 1% YANG DIKENAKAN KEATAS PEMINJAM PTPTN DIMANSUHKAN
2. BAGI MENAMPUNG KEPERLUAN KOS PENGURUSAN PTPTN MEJABULAT MENCADANGKAN AGAR KERAJAAN MENYEDIAKAN DANA DIBAWAH PERBELANJAAN MENGURUS TAHUNAN ATAU MENDAPATKAN TAJAAN DARIPADA GLC DAN SYARIKAT-SYARIKAT UTAMA DALAM NEGARA
3. SKIM INSENTIF PERTUKARAN PINJAMAN KEPADA BIASISWA YANG DI BERIKAN KEPADA PELAJAR CEMERLANG HENDAKLAH DIHENTIKAN ATAU DIKAJI SEMULA MENGGUNAKAN MEKANISMA YANG LEBIH RASIONAL BAGI MEMASTIKAN KEADILAN KEPADA SEMUA PEMINJAM DISAMPING MENGELAKKAN HAKISAN DANA PTPTN YANG BERKONSEPKAN PINJAMAN
4. KEMUDAHAN PINJAMAN PTPTN JUGA HENDAKLAH DIPANJANGKAN KEPADA PELAJAR-PELAJAR YANG MENYAMBUNG PELAJARAN MEREKA DILUAR NEGARA KHASNYA DITIMUR TENGAH
5. PINJAMAN BAGI PEMINJAM DARI SABAH DAN SARAWAK UNTUK BELAJAR KE SEMENANJUNG DAN SEBALIKNYA HENDAKLAH MELIPUTI HARGA TIKET PENERBANGAN 2 KALI SETAHUN
DARI ASPEK PEMBAYARAN
6. ROMBAKAN TERHADAP SISTEM BAYARAN BALIK PINJAMAN HENDAKLAH DILAKUKAN DENGAN MENGAMBIL KIRA PERKARA-PERKARA BERIKUT :
(i) BAYARAN PINJAMAN MULA DIBUAT APABILA PEMINJAM TELAH BERKHIDMAT MELEBIHI 6 BULAN ATAU TELAH MEMPUNYAI PENDAPATAN RM3000 KEATAS YANG MANA TERKEMUDIAN BAGI MENJAMIN TEMPOH KELEGAAN PEMINJAM.
(ii) KAEDAH BAYARAN BALIK HENDAKLAH DIKAJI SEMULA DENGAN MENGAMBIL KIRA MEKANISMA PEMBAYARAN SEPERTI KWSP DAN LHDN DISAMPING KEMUDAHAN PEMBAYARAN MELALUI SISTEM E-PAYMENT SEDIA ADA.
(iii) INSENTIF PELEPASAN CUKAI DIPERKENALKAN KEPADA MAJIKAN-MAJIKAN YANG BERSEDIA MENJELASKAN BAYARAN PTPTN PEKERJA MEREKA.
(iv) KAEDAH MENYENARAI HITAM PEMINJAM YANG MENYEBABKAN KEBEBASAN PEMINJAM SEPERTI URUSAN KELUAR NEGARA ATAU MEMBUAT LAIN-LAIN PINJAMAN HENDAKLAH DIMANSUHKAN.
DARI SEGI TABUNGAN SSPN
7. KERAJAAN HENDAKLAH MENYALURKAN DANA RM 100 YANG DIPERUNTUKKAN KEPADA MURID-MURID SEKOLAH TERUS KEPADA PTPTN BAGI TUJUAN PEMBUKAAN AKAUN SSPN DARI ASPEK KOMUNIKASI
8. PEMINJAM DAN PTPTN HENDAKLAH MELAKSANAKAN UPACARA AKAD UNTUK MEMASTIKAN PEMINJAM SEDAR BAHAWA PINJAMAN PTPTN PERLU DIBAYAR SEMULA
9. PTPTN HENDAKLAH MELAKSANAKAN PROMOSI DAN MENYEBARLUAS SEGALA MAKLUMAT YANG TEPAT KEPADA PEMINJAM DAN MASYARAKAT AGAR KEFAHAMAN TERHADAP FUNGSI DAN KEDUDUKAN PTPTN DAPAT DIFAHAMI
10. PTPTN HENDAKLAH MENGGUNAKAN SECARA MAKSIMA MEDIA BARU AGAR SEGALA AKTIVITI PROMOSI DAN PENYEBARLUAS MAKLUMAT AKAN LEBIH BERKESAN
11. PTPTN PERLU BERSEDIA UNTUK MENYEDIAKAN PINJAMAN BAGI SARA HIDUP SEANDAINYA KERAJAAN MEMUTUSKAN UNTUK MEMBERIKAN PENDIDIKAN PERCUMA DIPERINGKAT PENGAJIAN TINGGI
No comments:
Post a Comment