Sunday, July 8, 2012

Generasi muda kembali sokong BN -www.antarapos.com

Generasi muda kembali sokong BN
Ditulis Oleh Aidil Syukri Hamzah


[EKSKLUSIF Bhgn. 1] Majoriti golongan muda di negara ini telah kembali menyokong Barisan Nasional (BN) walaupun wujud dakwaan sebaliknya oleh pembangkang.

Ini dibuktikan melalui penglibatan sebilangan besar golongan muda yang menghadiri program-program anjuran kerajaan sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil inisiatif mendekati generasi ini.

Mengulas lanjut perkara itu, AntaraPos menemubual Ketua Peneranagan Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Armand Azha Abu Hanifah untuk mendapatkan reaksi.

Beliau selaku pemimpin yang bergiat aktif menarik minat golongan muda mendekati Umno-BN menyifatkan persepsi yang dilontarkan barisan pembangkang kepada umum hanya bertujuan menanam imej negatif terhadap kerajaan.



Namun fakta yang diperolehi menerusi pilihan raya kecil di negara ini mencatatkan keputusan sebaliknya.

“Bagi saya itu semua persepsi, kalau kita lihat fakta dari Pilihan Raya Kecil Manik Urai sehingga Pilihan Raya Negeri Sarawak, kita lihat pengundi muda di saluran 4 dan 5 telah kembali ke Barisan Nasional.

“Kita bercakap berdasarkan fakta bukan berdasarkan persepsi. Kalau kita lihat sekarang gerakan BN khususnya untuk mendekati generasi muda, banyak program yang dibuat BN khususnya idea dari Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin dan Perdana Menteri lebih menjurus kepada program anak muda kerana kita lihat anak muda pemangkin kepada perubahan,” tegas beliau.

Mengambil contoh program BN Youth Volunteer (Sukarelawan Muda) yang dilancarkan baru-baru ini, Armand menyatakan bahawa sekiranya benar golongan muda menolak BN, masakan program tersebut telah menerima sambutan hangat daripada golongan belia.



Selain itu beliau turut merujuk kepada sambutan hangat yang diterima setiap kali Himpunan 'BN Pilihan Orang Muda' diadakan di seluruh negara di mana katanya kehadiran di setiap lokasi adalah sangat membanggakan.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga bulan Jun 2012, pengundi muda 21 hingga 39 tahun telah mencecah angka 5.2 juta orang.



Kedudukan terbaru jumlah pengundi muda itu diambil daripada keseluruhan Daftar Pemilih Induk bagi suku pertama hingga suku keempat 2011.

Ia tidak termasuk jumlah daftar pemilih suku pertama tahun ini (Januari, Februari dan Mac) yang telah diwartakan dan boleh mengundi sekiranya Parlimen dibubarkan pada bila-bila masa dari sekarang.

Armand seterusnya tidak menolak tentang wujudnya segelintir kumpulan anak muda yang menentang kerajaan.

Tetapi beliau menganggap yang ianya hanya kelompok kecil golongan muda yang mahu dilihat ‘cool’ dan tidak mewakili suara majoriti anak muda.

“Kalau kita lihat menentang kerajaan ini kita akan dilihat ‘cool’, nampak ‘sempoi’ di kalangan anak muda. Tetapi inilah golongan kecil yang menentang.

“Tetapi saya yakin majoriti mereka kini melihat bahawa Pakatan Rakyat lebih menjanjikan retorik manakala BN memperjuangkan dasar-dasar yang boleh ditunaikan janji kita,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan pemimpin pembangkang kononnya Umno-BN memberi wang kepada golongan muda untuk meramaikan majlis, Armand dengan tenang menyangkal dakwaan tersebut.

Katanya, sejak dari dahulu BN menggalakkan penyertaan generasi muda tanpa berorientasikan wang sebaliknya mengambil bahagian secara sukarela.

“Jadi ini adalah persepsi mereka untuk jatuhkan imej Pemuda BN. Tetapi kita yakin golongan muda bersama kita bukan kerana bayaran, tetapi mereka ingin berjuang dengan BN kerana mereka yakin BN adalah parti sebenar untuk anak muda,” tegas beliau.

No comments:

Post a Comment