Saturday, August 11, 2012
Pemuda UMNO Anjur Tadarus & Khatam Al-Quran Perdana 1 Malaysia.
Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran anjuran Pergerakan Pemuda UMNO di Masjid As-Syakirin, KLCC petang tadi.
KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Bertemakan 'Ummah Bersatu Negara Maju', Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) hari ini telah menganjurkan proram Tadarus dan Khatam Al-Quran peringkat nasional bersempena bulan Ramadhan Al-Mubarak.
Majlis yang diadakan di Masjid As-Syakirin, KLCC selepas solat Asar petang tadi telah dihadiri seramai 200 orang daripada Ahli Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan pelajar dari Tahfiz serta anak-anak yatim sekitar ibu kota. Turut hadir pada majlis berkenaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Bin Hj Baharom (B), Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Sekretariat Ulama Muda UMNO (iLMU), Ustaz Fathul Bari.
Pelajar Tahfiz dan Maahad sekitar Ibu Kota turut hadir
Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran petang tadi.
Sejurus selepas selesai majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran, Khairy Jamaluddin telah memberi sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan cenderahati penghargaan kepada pihak penaja.
Ketika majlis perasmian Iftar Ramadhan bersama Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, "program seperti ini harus disebarluaskan keseluruh negara. Kita perlu menyokong pendekatan UMNO negeri Johor yang kerap menganjurkan program Tadarus dan Khatam Al-Quran. Semalam UMNO telah menganjurkan program seperti ini di Kepala Batas dan hari ini Pergerakan Pemuda menganjurkan di sini".
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika berucap
"Kita perlu mengaplikasikan konsep modal insan dan ulul albab dalam kehidupan seharian. Ulul albab menghendaki kita menggunakan akal yang waras bagi mencari kebenaran dalam persepsi yang sebenar. Mereka yang banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi akan membuatkan kita sedar bahawa kita ini adalah khalifah yang mentadbir dunia ini"
"Bagi melahirkan modal insan, kita perlu menekankan ilmu dan agama agar kehidupan kita sentiasa dilindungi rahmat Allah S.W.T. Dengan ilmu kita dapat membezakan kebenaran dan kebatilan tanpa dihasut orang lain," ujarnya lagi.
Pengerusi iLMU, Ustaz Fathul Bari ketika
menyampaikan tazkirah
Dalam pada itu, Pengerusi Sekretariat Ulama Muda UMNO (iLMU), Ustaz Fathul Bari berkata dalam tazkirahnya "Majlis Tadarus dan khatam Al-Quran ini satu program yang mulia dan baik. Masyarakat hari ini perlu memperbetulkan fahaman mereka bahawa agama bukannya pada sambutan dan peristiwa sahaja. Agama itu memandu kehidupan"
"Kita bukan sahaja mahu mewujudkan orang yang tahu membaca dan menghafal Al-Quran tetapi lebih besar dari itu yang mana Al-Quran perlu difahami dan dijadikan panduan hidup. Kita tidak mampu memahamkan kandungan Al-Quran kepada bukan Islam jika Islam berbalah sesama sendiri."
"Carilah malam lailatul qadar dalam 10 malam terakhir bukannya cari pusat membeli belah 10 malam terakhir. Malam lailatul qadar ialah malam yang sangat indah yang mana lebih baik daripada 1000 malam," katanya lagi ketika menyampaikan tazkirah sebelum berbuka puasa.
Turut hadir menyerikan majlis, Persembahan nasyid dari kumpulan D'Soul selepas solat maghrib.-KalamPena/PjO
Ust Fathul Bari & YB KJ, perlu selalu berbincang kerana mereka adalah pelapis kepimpinan UMNO dan seterusnya Melayu Islam dan negara MALAYSIA. Perlu adakan perancangan dalam membentuk pemuda yang berfikiran kritis dan bertunjangkan agama. Realitinya, umat Melayu Islam perlu jadi tonggak kepimpinan negara ini. Ada ketikanya perlu jadi "gedebe" atas dasar yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial. Bangsa Melayu adalah yang paling bermurah hati untuk berkongsi bumi bertuah ini dengan lain-lain bangsa. Terimalah hakikat ini...
ReplyDelete