Wednesday, September 26, 2012

BAJET2013 "IMPIAN GOLONGAN BELIA BERKEMAHIRAN " DENGARLAH HASRAT KAMI



Saya dan Sdr Rizan Bertekad Perjuangkan Isu Ini

Salam Sahabat2 Yang Saya Hormati..

Saya dan Sahabat Saya Saudara Rizan Hassan Telah Bertahun2 Perjuangkan Kepentingan Golongan Belia Berkemahiran Yang Selalu Terlepas Pandang. Mereka Juga Anak Malaysia Yang Perlu Diberikan Perhatian Oleh Pihak Kepimpinan Negara Dalam Bajet 2013.




Berikan MerekaPeluang kedua Bagi Mereka Menjadi Modal Insan Pada Pembangunan Negara Pada Masa Hadapan.

Berikut adalah Penulisan Sahabat Saya Saudara Rizan Tentang Impian Golongan Belia Berkemahiran.

PANDANGAN TENTANG HASRAT DAN IMPIAN GOLONGAN BELIA BERKEMAHIRAN DALAM PEMBENTANGAN BAJET 2013.

KERTAS INI PERNAH DIBENTANGKAN OLEH SAYA DALAM SATU MESYUARAT KUMPULAN FOKUS BAJET 2013 – YOUTH IN ECONOMIC DEVELOPMENT BERSAMA KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA

PENDAHULUAN

Perubahan struktur sosial dan masyarakat kerana perubahan semasa memberi kesan kepada gerakan belia di negara ini. Gerakan belia pada masa kini sangat terkesan dengan arus teknologi maklumat selain orientasi sosial yang jauh berubah. Mungkin ada juga perubahan lain, namun dua faktor ini dilihat sebagai 'tekanan' utama kepada belia.
Talk Show Kepentingan Golongan Belia kemahiran
Untuk rekod, bilangan rakyat Malaysia dalam usia belia 15 hingga 40 tahun adalah 12 juta orang. Bilangan ini membentuk 46% daripada keseluruhan rakyat Malaysia.

Arus teknologi maklumat masa kini ditandai oleh kegilaan gajet, bentuk kandungan serta cara berkomunikasi di kalangan penggunanya. Pengguna teknologi maklumat sudah tentu kebanyakannya terdiri daripada warga belia. Teknologi maklumat sudah menjadi gaya hidup warga belia dan ianya sentiasa menjadi buruan mereka. Maka, jika belia tidak memiliki gajet, ia boleh dianggap tidak 'stylo' atau tidak mengikuti arus semasa. 

Selepas memiliki gajet, apakah pula bentuk kandungan yang menjadi 'langganan' para belia. Sudah tentu pada masa kini kandungan berbentuk rangkaian sosial menjadi pilihan. Akhirnya, trend ini akan membentuk satu cara berkomunikasi baru yang menjadi identiti kepada warga belia pada masa kini. Mereka berhubung menggunakan Facebook dan Twitter, mereka berhujah menggunakan blog dan mereka berekspressi di laman YouTube.
Konvokesyen Belia Berkemahiran Oleh YB KJ
Kesan yang timbul kepada gerakan belia ialah keperluan untuk mengisi perubahan ini supaya warga belia dan gerakan belia tidak akan terpisah kerana kecanggihan teknologi pada masa kini. Bermakna, pertubuhan belia juga perlu mesti 'IT savvy' serta memanfaatkan segala teknologi dan perkakasan serta kandungan dan perisian untuk berada bersama-sama dunia belia yang baru ini. Pemimpin-pemimpin belia perlu meninggalkan stigma formal dan label 'Mat Belia' berbaju batik yang sudah tidak relevan pada masa kini.

Perubahan dalam orientasi sosial juga perlu difahami secara tuntas oleh gerakan belia. Senario belia yang mencari kerja untuk membayar semula hutang pinjaman pendidikan tidak boleh dipandang sepi. 

Selagi mereka tidak memiliki pekerjaan yang stabil dengan pendapatan yang selesa, maka janganlah terlalu mengharap mereka akan berfikir untuk melibatkan diri dalam gerakan belia atau kesukarelaan. Ini bermakna, gerakan belia akan kehilangan 'focus group' mereka dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.


Rakaman Bersama Isu Pembangunan Belia Berkemahiran
Selain itu juga, kecenderungan belia pada masa kini juga berubah dalam bentuk minat dan hobi mereka. Minat belia sudah menjadi 'narrow' atau mengkhusus kepada sesuatu bidang sahaja. Sebagai contoh, futsal menjadi pilihan yang sangat popular di kalangan belia untuk mereka bersosial. Juga mereka yang minat kepada kamera DSLR, permainan kawalan jauh, kelab bermotor, band muzik, serta aktiviti hiburan seperti karaoke. Dengan mewujudkan kumpulan-kumpulan belia berteraskan minat atau 'interest based' mereka boleh menganjurkan aktiviti bersama-sama. Maka, mereka tidak lagi memerlukan persatuan belia yang dianggap sangat formal untuk mereka menganjurkan program.

Pertubuhan dan gerakan belia pulalah yang perlu berubah dengan menawarkan ruang-ruang untuk memenuhi keperluan belia masa kini yang sudah menjadi terlalu spesifik ini. Mudah-mudahan pemimpin-pemimpin belia masa kini mampu untuk menangani landskap baru gerakan belia masa kini, jika tidak belia dan persatuan-pemimpin akan terus terjarak.

Tuntutan belia masakini:
Belia mahukan peranan mereka diiktiraf
Suara mereka bukan sahaja di dengari tetapi di ambil tindakan
Belia mahu isu-isunya di tangani dengan cara berorientasikan mereka.


BAHAGIAN 1: EKONOMI BELIA

(1)
Mencadangkan agar SKIM TABUNG EKONOMI BELIA (STEB) yang dibekukan beberapa tahun dulu dapat di hidupkan kembali dan diperkasakan lagi dan penambahbaikan dapat dilakukan selari dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

(2)
Program Bimbingan Usahawan Muda pernah di adakan dan menerima peruntukan dari RMK-9. Program ini di lihat begitu berkesan dalam konteks pembangunan ekonomi belia. Program ini perlu di hidupkan kembali dan di perkasakan dengan melibatkan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Belia Negeri (MBN) sebagai badan pelaksana dan pemantau program.

(3)
Mencadangkan agar Kompleks Rakan Muda atau Kompleks Belia dan Sukan yang ada di seluruh negara bukan hanya tertumpu kepada aktiviti riadah dan penganjuran kursus dalam bilik sahaja, sebaliknya di jadikan satu ONE STOP CENTRE kepada para belia untuk menjana ekonomi mereka. Antara cadangan yang difikirkan ialah mewujudkan Pasar Tani Belia, Up Town/Down Town di mana lesen-lesen perniagaan diberikan khusus kepada golongan belia berumur 18-40 tahun.

(4)
Memohon agar kerajaan-kerajaan negeri menggalakkan dan memberi kebenaran kepada pertubuhan-pertubuhan belia mengusahakan tanah-tanah rizab kerajaan yang terbiar seperti ’grazing reserve’ dijadikan sektor pertanian. Ini akan membuka ruang kepada golongan belia untuk bergiat dalam bidang pertanian.

(5)
Mencadangkan agar kerajaan meletakkan GLC sebagai mentor/fasilitator kepada usahawan muda dan bukannya sebagai pesaing dalam mendapatkan projek-projek.

(6)
Mewujudkan program khusus YOUTH TECHNOPRENEUR yang memberi sasaran melahirkan kendiri belia yang berdaya saing dan pemangkin nilai tambah ekonomi negara melalui Pembangunan Kemahiran Tinggi dan Budaya Teknopreneur.

Tiga (3) teras utama di cadangkan iaitu:

1. Memperkukuhkan infrastruktur pembangunan latihan kemahiran /keusahawanan
-Objektifnya: Mempertingkatkan sumbangan belia kepada ekonomi negara berdasarkan belia yang progresif dan kompetitif.

2. Mencipta kesedaran dan keupayaan belia
-Objektifnya: Menggalakkan pembangunan belia dalam pekerjaan/perniagaan berteraskan kemahiran tinggi dalam industri berasaskan pengetahuan

3. Akses kepada pembiayaan –
-Objektifnya: Meningkat keupayaan belia untuk menjana pekerjaan sendiri melalui budaya teknopreneur


BAHAGIAN B: ISU-ISU BESAR BELIA YANG MENGEKANG PEMBANGUNAN BELIA DARI SUDUT SOSIAL, EKONOMI DAN PENDIDIKAN

Majlis Belia Malaysia (MBM) begitu komited menekankan kepada 3K iaitu Kesukarelaan, Kepimpinan dan Kemahiran.

Seluruh belia melahirkan rasa gembira kerana suara mereka di dengari dan diambil tindakan oleh kerajaan dimana dalam konteks kesukarelaan, kerajaan telah menyuburkan semangat kesukarelaan ini dengan insentif yang diberikan termasuk mewujudkan 1Malaysia For Youth (1M4Youth). Manakala dalam konteks kepimpinan, kewujudan Parlimen Belia memberi satu platform kepada pemimpipn belia memberi pendapat dan pandangan serta kritikan terhadap dasar dan perlaksanaan yang di jalankan oleh kerajaan.

Bagaimana pun, terdapat banyak isu besar dalam kemahiran yang memerlukan tindakan serta-merta kerajaan kerana MBM melihat ianya akan membantutkan usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan 40% rakyatnya adalah berkemahiran tinggi.

(1)
Strategic Action for Youth 1Malaysia (SAY 1Malaysia) – Diumumkan semasa pembentangan Bajet 2012 di mana sebanrak RM200juta di peruntukkan untuk memberi latihan kepada golongan belia tercicir. MBM telah menyambut inisiatif itu dengan baik di mana MBM menggerakkan Program 1Belia 1Kemahiran dengan sokongan padu semua badan gabungan MBM dan pertubuhan-pertubuhan belia di Malaysia. Tetapi sehingga kini, status SAY1Malaysia tidak diketahui dan seolah-olah sepi begitu saja.


(2)
Diploma Kemahiran Malaysia (DKM – Tahap 4) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM – Tahap 5) perlu diberi pengiktirafan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Buat masa ini, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga 3 sahaja yang diberi pengiktirafan. Sesuatu yang pelik apabila persijilan kemahiran yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Sumber Manusia dan melalui agensinya Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) tidak diiktiraf oleh kerajaan itu sendiri. Isu ini telah berlarutan untuk sekian lama. Bagaimana kita mahukan memperbanyakkan golongan belia berkemahiran tinggi sedangkan jika mereka menjalani latihan di tahap berkenaan, kemahiran mereka tidak diiktiraf. Akhirnya, bakat-bakat atau ’talent’ berkemahiran ini akan berhijrah ke luar negara yang sentiasa membuka pintu buat mereka yang berkemahiran tinggi.


(3)
Merayu kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menghapuskan peruntukan sistem kuota kepada semua institusi latihan kemahiran swasta yang menawarkan Persijilan Kemahiran Malaysia. Pinjaman latihan kemahiran wajb diberikan kepada semua belia yang memilih latihan kemahiran sebagai pilihan mereka untuk mengejar cita-cita kerjaya mereka. Golongan belia tercicir akademik lebih cenderung kepada latihan kemahiran. Mereka juga datang dari golongan keluarga berpendapatan RM2000 kebawah. Justeru, tanpa bantuan menyeluruh kepada belia berkemahiran akan menyebabkan mereka membuat pilihan ketiga iaitu bekerja berdasarkan kelulusan PMR atau SPM, menjadi penganggur dan terus tercicir, atau menjadi belia berisiko tinggi (penagih, penjenayah dan lain-lain).

(4)
Ubah kadar faedah untuk pinjaman latihan kemahiran dari 3% kepada 1%. Jika PTPTN kadar faedahnya 1% mampu kerajaan tunaikan, mengapa pinjaman PTPK untuk belia berkemahiran kerajaan mengekalkan kepada 3%? PTPTN dan PTPK mempunyai objektif dan tujuan yang sama iaitu memberi bantuan pinjaman kepada rakyat Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran mereka. Cumanya PTPTN dalam bidang akademik manakala PTPK untuk latihan kemahiran. Semua mekanisma pemberian pinjaman adalah sama kecuali dari segi faedah bayaran balik yang dikenakan cukup berbeza. Ini sesuatu yang tidak adil dan kerajaan tidak perlu menunggu golongan belia berkemahiran bangkit menyuarakan perkara ini barulah hendak bertindak.

(5)
Memohon kerajaan mengarahkan semua kementerian yang terlibat dengan latihan kemahiran agar menggunapakai satu standard persijilan iaitu Persijilan Kemahiran Malaysia (persijilan Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia). Ini kerana sistem ini diterima pakai oleh industri kerana pihak industri terlibat dalam pembangunan Sandard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan atau National Occupational Skills Standard (NOSS). Malangnya, selepas berbilion ringgit dihabiskan membangunan standard pekerjaan dan membuat penambahbaikan selari dengan keperluan industri dan teknologi, ego kementerian-kementerian tertentu begitu menebal dengan terus menggunakan standard sendiri. Akhirnya, industri di Malaysia keliru dengan persijilan yang ada di Malaysia dan paling menakutkan tahap kemahiran golongan belia yang dikeluarkan oleh institusi kemahiran berbeza-beza mengikut selera institusi dan bukannya selera industri.

(6)
Belia berkemahiran adalah Tangan Emas Negara. Pengiktirafan perlu diberikan kepada belia berkemahiran yang kompeten dalam latihan mereka. Hingga ke hari ini, tiada biasiswa atau pengecualian bayaran balik diberikan kepada pelajar kemahiran yang menunjukkan kompeten yang tinggi. Berbanding pelajar akademik yang cemerlang akan diberi biasiswa atau diskaun bayaran balik.


DISEDIAKAN OLEH
RIZAN HASSAN
Tokoh Belia Negara 2011
Tokoh Belia ASEAN 2011

TAHNIAH SAHABATKU, SEMOGA ALLAH SWT BERKATI PERJUANGAN KITA UNTUK  BELIA BERKEMAHIRAN INI BERJAYA , INSYALLAH

No comments:

Post a Comment