Wednesday, July 17, 2013

YB Dato Rahman Dahlan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dengarlah Rintihan Kami

Salam sahabat-sahabat yang di hormati,
Tertarik hati saya tulisan rakan FB saya mengenai suara anak muda. Rintihan beliau menjurus kepada akta Bank Negara yang baru.


Saya rasakan rintihan rata2 anak muda risau akan masa hadapan mereka yang ingin memiliki rumah pertama mereka. 

Saya rasa YB Dato Rahman Dahlan selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan harus mendengar rintihan bukan sahaja beliau tetapi saya yakin ribuan anak muda di bawah yang risau akan masa hadapan mereka.

Saya rasa sudah sampai masa Pihak Kerajaan mengambil isu ini secara serious dalam membantu bukan sahaja bagi anak-anak muda malah ratusan keluarga khususnya bumiputra diluar sana yang ingin memiliki rumah pertama mereka yang selesa.


Ramai keluarga diluar sana risau akan keadaan harga rumah yang semakin tinggi dan kini dengan akta baru Bank Negara yang memendekkan masa pinjaman, yang mana akhirnya akan kembali menjadi beban pada golongan berpendapatan sederhana ke bawah untuk memiliki rumah bagi keluarga mereka.


Mungkin YB Dato Rahman Dahlan selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan  sudi untuk bersama2 kita dalam satu sessi pertemuan teh tarik bersama anak-anak muda mengenai isu yang membimbangkan generasi muda. Mendengar rintihan dan nadi suara anak-anak muda dan keluarga yang memerlukan rumah bagi keluarga mereka.

Saya yakin jika YB Dato Rahman Dahlan selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turun mendengar rintahan dibawah secara terus pasti akan memikirkan jalan penyelesaian.


Kami yakin pada kepimpinan muda seperti YB Dato Rahman Dahlan selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan .

Di bawah ini adalah kenyataan anak muda yg berjiwa besar rakan FB saya :


Salam sahabat2.

Kemungkinan coretan saya ini akan menguris mana-mana pihak yang akan membaca satu persatu coretan dari hati saya ini. Kemungkinan juga saya mewakili suara – suara golongan muda di Malaysia ini terasa perlu dibuat sesuatu sebelum semakin parah. Ini merupakan isu rumah mampu milik di Negara kita sendiri.



Saya ada melihat dan amati dengan teliti baru-baru ini Bank Negara telah menguatkuasakan peraturan baru dengan menghadkan:

(i) pinjaman peribadi setakat 10 tahun maksimum (dahulu 25 tahun)

(ii) pinjaman hartanah dan rumah 35 tahun (dahulu 45 tahun)

(iii) tidak membenarkan lagi pinjaman pra kelayakan

Apabila saya amati betul-betul dengan penguatkuasaan ini kemungkinan kerajaan akan menangani masalah kenaikan hutang isi rumah yang meningkat dari RM465.2 bilion pada tahun 2008 kepada RM754.6 bilion pada pertengahan tahun 2013. Dengan harga rumah mahal, harga kereta mahal dan kos hidup yang mahal, rakyat Malaysia adalah ‘juara’ dalam membuat hutang, iaitu hutang isirumah kita adalah 140% berbanding dengan pendapatan, Singapura 105%, Amerika 123%, Korea 101%, Thailand 53% dan Indonesia 38%.

Akibat daripada hutang yang banyak ini, kadar individu yang diisytiharkan bankrap pada tahun 2012 ialah 19,575 ataupun 53 orang sehari dalam setahun, di mana 50% adalah dari golongan berumur 25-44 tahun. Jumlah individu yang bankrap dari tahun 2007 sehingga 2013 adalah 245,000 orang yang mana faktor utamanya adalah disebabkan oleh kegagalan untuk membayar pinjaman yakni bagi bahasa mudahnya adalah hutang.

Sekarang tertanya-tanya di benak fikiran saya kenapa hutang rakyat kita di Malaysia tinggi terutamanya orang-orang melayu kita? Saya petik pula dari data Bank Negara, 64% pinjaman yang dibuat oleh isirumah adalah dari pinjaman perumahan dan kereta sahaja. Pinjaman peribadi jatuh ke tempat ketiga paling banyak.

Sekarang cuba tanya di dalam diri kita pula mengapa harga rumah sekarang sangat mahal sehingga rakyat kita terbeban hutang sampai mati? Saya ada mengajukan soalan ini kepada pemaju tetapi senang sahaja jawapannya. Barang kos seperti simen, pasir, batu-bata dan lain-lain seumpamanya naik harga.

Kadang-kadang saya hairan bin ajaib kenapa pihak kerajaan tidak boleh mengawal harga rumah? Adakah susah sangat pihak kerajaan menetapkan harga rumah mampu milik kepada rakyat. Cuba kita selidik semula bagaimana belia-belia (anak-anak muda) yang baru sahaja bekerja mampu memiliki rumah dengan harga yang gila ini. 

Ini kerana saya lihat harga rumah yang ditetapkan oleh pemaju sekarang sudah di luar dari istilah rumah mampu bilik. Saya tinggal di Bandar Puncak Alam. Setiap hari saya melihat perkembangan rumah-rumah disini. Cuba Kita bayangkan bagaimana seorang yang baru bekerja bolehkah memiliki rumah jika harga rumah dua tingkat di Bandar Baru Puncak Alam dengan keluasan 20”X70” pun sudah mencecah RM350 ribu – RM450 ribu? 

Saya tidak mahu melihat lebih jauh atau luar skop dari Puncak Alam. Kerana Bandar Puncak Alam merupakan Bandar yang baru dengan hanya ada Econsave beroperasi dan kedai-kedai makan hanya menggunakan payung di tepi jalan dan boleh dibilang dengan jari sahaja kedai-kedai makanan dibuka. Hanya Bank OCBC sahaja beroperasi.

Bayangkan harga rumah kondominium di Bangsar yang seluas 2,000 kaki (185 meter) persegi dijual pada harga RM2.4 juta seunit dan harga sebuah rumah semi-D di Sri Hartamas berharga RM1.5 juta. Siapakah yang mampu membelinya?

Sekarang kita bayangkan pula kalau ada hutang kereta, anak kecil, kena beli lampin anak, bayar orang gaji, kad kredit, pakaian, persekolahan, minyak kereta dll, maka apa lagi yang tinggal? Bagaimana mungkin mampu untuk membeli rumah semahal ini jika pendapatan suami isteri hanya RM5 ribu sebulan sahaja dengan bayaran yang ditetapkan dalam masa 35 tahun. Jika suami isteri berpandapatan RM5 ribu pun tidak mampu, bagaimana bagi mereka yang berpendapatan lebih rendah dari itu?

Apabila melihat kepada masalah harga rumah yang semakin ‘tidak masuk akal’ sekarang ini, saya sedih melihat nasib rakyat terutamanya orang melayu dan golongan muda kita terhimpit dengan masalah begini. Saya mempunyai rakan yang berumur 38 tahun dan memiliki segulung Ijazah TETAPI sampai sekarang tidak mampu memiliki rumah kediaman sendiri. 

Adakah kita mahu melihat bangsa kita merempat di Negara sendiri? Masih terkial-kial mencari kelangsungan hidup. Sebenarnya saya ada beberapa mekanisme yang mungkin boleh membantu pihak kerajaan terutamanya tampuk kepimpinan yang baru Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas selesai PRU 13 memikirkan bagaimana cara membantu golongan muda ini memiliki keperluan asas ini. 

Tetapi mungkin luahan saya siri ke-2. Ingat ini Rumah merupakan keperluan asas bagi kita. Bantulah golongan yang berumur 40 tahun kebawah memiliki rumah. Jika harga tanah di bandar mahal untuk membangunkan perumahan, maka binalah apartment ‘layak duduk’ yang sesuai untuk golongan berpendapatan rendah. 

Mereka tetap perlu disediakan rumah kerana itu adalah keperluan asas manusia yang perlu disediakan oleh kerajaan untuk rakyatnya. Saya tidak mahu mendengar atau mencari alasan ‘kalau ayam mahal jangan makan ayam’, atau ‘kalau rumah di bandar, mahal sewa atau belilah rumah di kampung’.

Maafkan saya sekiranya coretan saya ada salah dan silap serta menguris hati mana-mana pihak. Wahuallam.

Ikhlas dari saya.
Noor Akmal Kamarolzaman


#Semoga Rintihan Kami di Dengari Oleh Pemimpin2 AtaS



No comments:

Post a Comment