Monday, October 4, 2010
Bersama Pertahankan Penolong Pengarah BTN
Penolong Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Hamim Husain hari ini membuat laporan polis terhadap portal berita The Malaysian Insider dan seorang wartawannya berhubung isu kenyataan 'rasisnya'.
Beliau hadir membuat laporan itu di balai polis Sentul kira-kira jam 1 petang dengan diiringi Ketua Wira Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Arman Azha Abu Hanifah.
Hamim (kanan) bagaimanapun enggan bercakap sepatah pun kepada media, termasuk kandungan laporannya.
Beliau sebaliknya hanya membaca surah al-Fatihah dan berdoa untuk perpaduan umat Islam dan pemimpinnya di luar balai selepas membuat aduannya.
Hamim kemudian beredar daripada tempat itu tanpa mempedulikan wartawan yang mengejarnya sampai ke kereta.
Bagaimanapun, tampil berpakaian serba hitam - termasuk berkaca mata gelap - pegawai kerajaan itu sempat melambai dan tersenyum kepada pihak media yang menunggunya kira-kira sejam.
Menurut Arman Azha, laporan polis Hamim itu dibuat terhadap akhbar dan wartawan portal itu Boo Su-Lyn yang didakwa menyalahtafsirkan kenyataannya dan menyelinap dalam program tertutup mereka.
Menurut Arman Azha (kiri) lagi, tindakan Boo Su-Lyn itu yang "menyalahtafsirkan" kenyataan Hamim itu boleh "menggugat muhibah dan keamanan kaum".
"Kami PERKASA berdiri teguh di belakang beliau (Hamim). Itu adalah program tertutup. Media harus hormat," kata Arman Azha lagi.
The Malaysian Insider dalam laporannya minggu lalu mendakwa Hamim menghina dan melabelkan rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India sebagai 'si sepet mata' dan 'si kaki botol'.
Pegawai kanan BTN itu juga dilaporkan oleh Boo sebagai berkata adalah menjadi hak Melayu untuk memerintah negara dan menggesa mereka untuk bersatu mempertahankan hak mereka
Siapa Azmin Ali Ni???
Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Arman Azha Abu Hanifah meminta semua anggota PKR menolak Azmin Ali sebagai timbalan presiden PKR, sebaliknya mengalihkan sokongan mereka kepada Mustaffa Kamil Ayub.
Ini kerana, menurut Arman Azha, Azmin sebagai naib presiden parti itu sekarang didakwa tidak berpendirian dan hanya bertindak sebagai "budak kopi" kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya harap semua anggota PKR memilih Mustaffa Kamil Ayub sebagai timbalan presiden. Beliau daripada ABIM (Angkatan Beliau Islam Malaysia), (beliau) ada agenda Islam," kata Arman Azha (kiri).
Beliau juga mendakwa, sebanyak 35 peratus NGO Melayu dengan keanggotaan 300,000 orang itu turut merupakan anggota PKR.
Dalam persaingan merebut jawatan nombor dua parti itu, Mustafa merupakan salah seorang yang menawarkan diri bertanding, di samping Azmin dan Penyelaras Pakatan Datuk Zaid Ibrahim.
Bagaimanapun, menurut keputusan pencalonan yang telah diketahui, beliau agak di belakang dengan 17 pencalonan. Azmin pula jauh mendahului dengan 102 pencalonan dan Zaid sebanyak 38.
Turut dicalonkan ke jawatan itu Pengarah Strategik PKR Tian Chua, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Pengarah Pilihan Raya Fuziah Salleh dan ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.
Bercakap kepada pemberita selepas mengiringi Penolong Pengarah Biro Tata Negara (BTN) membuat laporan polis berhubung isu kenyataan 'rasis' di balai polis Sentul di Kuala Lumpur, Arman Azha juga menyelar Azmin kerana didakwa mengkritik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Baru setahun jagung jadi wakil rakyat, beliau (Azmin) harus prihatin. Dr Mahathir telah 22 tahun menjadi perdana menteri," katanya sambil menafikan cuba mencampuri urusan dalaman PKR.
Kelmarin, ketika menyampaikan ucapan perasmian mesyuarat agung tahunan PKR Cabang Gombak, Azmin dilaporkan berikrar akan melawan habis-habisan PERKASA dan individu berselindung di sebalik pertubuhan itu yang kini 'tersungkur' di Australia.
Ketika ditemui pemberita selepas itu,Azmin dilaporkan mengakui pemimpin yang dirujuknya itu adalah Dr Mahathir yang juga penasihat PERKASA.
Azmin juga menyatakan, perkataan tersungkur itu langsung tidak kasar tetapi sebaliknya amat sesuai dirujuk kepada pemimpin berkenaan
Subscribe to:
Posts (Atom)