Segala debaran sudah berakhir, kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang sebelum ini dikuasai oleh Barisan Nasional (BN) sejak tahun 2004 akhirnya dirampas kembali oleh Pas yang pernah berbuat demikian pada tahun 1999.
Calon Pas, Mohd.Abdul Wahid Endut yang sudah lima penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam berjaya melebarkan sayapnya ke Parlimen apabila memperolehi majoriti 2,631 undi menewaskan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Sememangnya biarpun pilihan raya berkenaan turut disertai oleh calon Bebas, Azharudin Mamat namun persaingan lebih dilihat antara BN dan Pas. Kedua-dua parti itu bertarung sengit dari hari penamaan calon lagi iaitu pada 6 Januari lalu.
Sejak awal lagi, dari segi 'rating' sehinggalah malam pengundian Pas dikatakan mendahului sekitar 3,000 undi. Walaupun BN cuba bangkit di saat-saat akhir bagi mengurangkan majoriti namun ia gagal.
Kekalahan BN itu dianggap satu lagi tamparan yang diterima selepas parti tersebut kecundang di Permatang Pauh pada Ogos lalu. Ia sekaligus akan memberi modal kepada pakatan pembangkang yang disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas untuk meneruskan misi mereka mengkhabarkan kepada rakyat bahawa BN semakin ditolak atau sudah tidak relevan lagi.
Apa pun keadaannya, pilihan raya kecil berkenaan bukan sahaja menunjukkan bahawa jentera BN tidak belajar daripada pengalaman di Permatang Pauh malah mereka juga masih mengulangi tingkah laku yang tidak sesuai sebagai orang luar yang datang membantu jentera tempatan.
Sama ada hendak diakui atau tidak, Kuala Terengganu juga menyaksikan buat kali kedua bagaimana lemahnya jentera perang saraf BN, walaupun sehari sebelum hari penamaan calon pada 6 Januari lalu Pas sudah mula mengedar risalah dan makalah namun BN seolah-olah bersantai.
Risalah dan perang saraf BN hanya berlaku di penghujung-penghujung kempen ketika perang saraf Pas sudah meresapi hampir keseluruhan pemikiran pengundi. Walaupun BN mungkin sedikit sebanyak mampu mengawal keadaan tetapi pembangkang meneruskan pula serangan melalui ceramah-ceramahnya.
Apa yang malangnya, penceramah-penceramah BN gagal menangkis setiap serangan yang dilemparkan oleh pembangkang dalam ceramah mereka. Biarpun hakikatnya sebahagian besar dakwaan yang dibuat oleh pembangkang adalah palsu tetapi politik adalah berkaitan persepsi, apabila ada keraguan maka mereka akan mempercayai apa yang diperkatakan oleh pembangkang.
Lebih malang lagi, ada penceramah yang datang hanya 'menyerang' Pas berhubung hukum hudud manakala ada pula yang menjadikan Kuala Terengganu sebagai medan politik peribadi. Kesudahaannya mereka gagal untuk mempengaruhi pengundi bagi memastikan BN mencatatkan majoriti lebih besar memandangkan dalam tempoh satu malam sahaja segala hujah BN dapat dipatahkan oleh pembangkang.
Sokongan kepada BN juga tergugat apabila pembangkang melancarkan 'serangan' tiga hari berturut-turut sebelum hari pengundian dengan diketuai oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain menaburkan pelbagai dakyah mengenai pentadbiran negara, mereka juga melakukan serangan peribadi ke atas beberapa pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak yang sejak awal lagi bertungkus lumus untuk memastikan kemenangan BN.
Masalah dalaman
Keadaan menjadi lebih buruk lagi, apabila masalah dalaman UMNO seolah-olah terus menjadi 'virus', kini terus mengancam parti itu di mana juga pilihan raya yang disertai. Difahamkan, sehingga awal pagi hari pengundian masalah itu tidak dapat diselesaikan dan ia memberi petanda awal bahawa BN akan menghadapi kekalahan.
Mungkin ada di antara kita yang membuat tafsiran awal bahawa kekalahan ini ada kaitan dengan personaliti Wan Ahmad Farid, namun untuk bertindak adil kepada beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, personaliti bukanlah faktor utama.
Faktor yang paling jelas menyumbang kepada kekalahan BN ialah jumlah keluar mengundi yang terlalu rendah, pengundi bukan Melayu tidak menyebelahi BN, masalah dalaman UMNO dan kekurangan sokongan daripada sebahagian kakitangan kerajaan.
Turut memeritkan lagi BN, apabila wujudnya tafsiran di kalangan pengundi bahawa pilihan raya ini tidak mempunyai apa-apa signifikannya kepada arena politik negara. Mereka membuat tafsiran bahawa siapapun menang BN tetap memerintah pusat dan negeri.
Persepsi ini juga memungkinkan pengundi-pengundi luar termasuk penyokong BN membuat keputusan tidak balik untuk mengundi. Bagi pembangkang pula, kemenangan ini tidak harus dibanggakan sangat kerana berdasarkan undi yang diperolehi oleh Wan Ahmad Farid adalah jelas penyokong BN tidak berganjak.
Pas atau pakatan pembangkang memperoleh kemenangan melalui pengundi atas pagar, sebahagian golongan pendidik yang menyokong Allahyarham Datuk Razali Ismail dan pengundi bukan Melayu yang sememangnya sejak awal lagi dilihat tidak memihak kepada BN.
Malah kemenangan ini juga seharusnya memberikan pengajaran kepada pembangkang untuk menerima realiti politik bahawa di Malaysia tidak ada pengundi hantu dan kita yakin tuduhan ini tidak akan lagi kedengaran berikutan kemenangan berkenaan.
Apa pun rakyat Kuala Terengganu sudah membuat keputusan dan semua pihak harus menghormatinya kerana itulah amalan demokrasi di Malaysia.
Semoga kali ini, kekalahan di Kuala Terengganu akan benar-benar menginsafkan BN. Parti itu perlu melakukan 'post mortem' secara terperinci, telus dan tegas bagi memperbaiki kelemahannya. Ini kerana apa yang berlaku dalam pilihan raya kecil tersebut tidak harus dilihat sebagai 'kalah di satu kerusi sahaja' tetapi perlu dilihat dalam skop yang lebih luas dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Marilah Kita Renung2kan Rakan2
No comments:
Post a Comment