Thursday, January 28, 2010

Harmoni dan Muhibbah Itu Yg Kita Perlukan Kini


BERSIKAP mengalah berpada-pada, tetapi merosakkan harta benda jangan sekali. Lebih-lebih lagi dalam kehidupan beragama. Sebagai manusia yang mempunyai emosi, sudah tentu penghinaan tertinggi ialah apabila Tuhan yang disembah dihina. Tentu itu kesakitan paling tinggi.

Tetapi dalam menanggung cabaran terhadap agama sendiri, jangan sekali-kali merosakkan rumah ibadat sesiapapun, atau melakukan sesuatu yang menimbulkan pergaduhan antara agama yang menyebabkan huru-hara kepada negara. Tentu itu bukan ajaran mana-mana agama, termasuk Islam sendiri.

Tujuan agama, tidak kira apapun adalah untuk memberikan makna kewujudan kepada penganutnya. Supaya manusia berasa tenteram dalam menghadapi kematian yang tidak dapat dielakkan, serta menerima dengan sabar segala kesusahan yang dilalui oleh manusia.

Bagi mereka yang beragama, Tuhan adalah paling utama yang diambil perhatian dalam kehidupan. Tentunya ia melibatkan emosi seseorang apabila timbul soal Tuhan dan agama.

Bagaimanapun, tidakkah Tuhan adalah Pencipta semua makhluk, tanpa mengira anutan agama? Malah orang yang tidak beragama atau atheis juga adalah ciptaan Tuhan.

Tidakkah aneh apabila melihat manusia saling berbunuhan kerana mempertahankan agama masing-masing? Kesemua pihak berjuang atas nama agama masing-masing? Mereka juga berperang dan saling berbunuhan serta merosakkan harta benda atas nama Tuhan masing-masing.

Hanya ada satu Tuhan untuk semua. Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Esa mencipta semua kewudjudan ini, tidak ada kecualinya.

Walaupun pelbagai agama memahami Tuhan dalam pelbagai bentuk dan cara, tetapi hakikatnya hanya Yang Maha Esa itu satu-satunya. Tidak kiralah apa yang dinamakan mereka. Begitu juga tidak kiralah bahasa yang digunakan mereka untuk menyebut mengenai Tuhan.

Bahasa berkembang dan istilah saling bertukar-tukar dari zaman ke zaman. Ia menjadi demikian adalah kerana takdir dan ketentuan Tuhan.

Adakah wajar manusia berbalah kerana agama dan kepercayaan? Dalam tradisi Islam perkara ini jelas, kamu dengan agamamu, kami dengan agama kami.

Untuk apa manusia saling berbalah hingga merosakkan harta benda dan berbunuh-bunuhan. Bukan saja kerana perbezaan agama, malah perbezaan mazhab sudah cukup untuk orang berbalah dan saling berbunuhan hingga runtuh sesebuah negara.

Di seluruh dunia dan sepanjang sejarah berapa banyak negara porak peranda akibat perbalahan agama yang tidak berkesudahan hingga turun-temurun.

Dalam memperjuangkan agama dirasakan bahawa mereka yang terlibat berasa telah melakukan kewajipan kerana mempertahankan agama dan Tuhan mereka.

Tidakkah terlintas di hati mereka bahawa Tuhan yang dipertahankan itu adalah juga Tuhan kepada semua makhluk tanpa mengira anutan agama masing-masing. Lebih-lebih lagi dalam agama Islam di mana Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Esa. Satu saja Tuhan walaupun terdapat 99 nama dalam bahasa Arab.

Allah SWT adalah Tuhan Maha Kuasa. Dia boleh melakukan apa saja. Tidak perlu bagi manusia mempertahankan-Nya. Kerana tidak ada sesiapa yang mempunyai kuasa lebih daripada-Nya. Maka tidak timbul soal seseorang mempertahankan-Nya atau mempertahankan nama-Nya. Sebaliknya Allah SWT merupakan pelindung bagi makhluknya.

Tetapi manusia tetap merupakan makhluk beremosi dan dalam soal agama, mereka boleh tersilap faham dan jalan. Ketika dia membunuh orang atas nama agama, dia menyangka dia membela agamanya, tetapi sebaliknya dia melanggar larangan agamanya sendiri, serta semangat kehidupan beragama itu. Disangka dia memperoleh pahala dengan memerangi penganut agama lain, tetapi hakikat dia telah melakukan dosa.

Mencemarkan

Dengan membunuh dan merosak harta benda penganut agama lain, seseorang itu bukan mempertahankan agamanya sendiri tetapi sebaliknya mencemarkan agamanya. Lebih-lebih lagi terhadap Islam di mana ketika ini, dunia, iaitu penganut agama lain memandang serong terhadap Islam.

Memang benar terdapat sikap Islamo fobia di Barat yang memandang serong terhadap Islam. Tetapi orang Islam sendiri yang menyumbang terhadap pandangan serong itu.

Tidaklah diketahui siapa punya angkara yang membakar gereja pada awal pagi Jumaat lalu. Tetapi kejadian itu sudah cukup menjadi berita Reuters yang dipancarkan ke seluruh dunia melalui SMS Alert mereka ke telefon bimbit di seluruh dunia. Pelanggan SMS Alert Reuters akan menerima laporan bahawa gereja diserang di Malaysia. Tidakkah kejadian ini mencemarkan nama negara, dan umat Islam sendiri. Tanpa diketahui siapa punya angkara tetapi dengan sendirinya ia menyumbang kepada imej seolah-olah umat Islam tidak toleran dan ganas di Malaysia. Sedangkan Malaysia dikenali sebagai negara tolaran dalam amalan berbilang kaum dan agama.

Simpati dunia Barat tentunya kepada bukan Islam di negara ini. Bukan saja dunia Barat mempunyai tradisi Kristian yang tentu lebih simpati kepada saudara seagama mereka, tetapi umumnya mereka lebih simpati kepada golongan minoriti yang dianggap terpinggir.

Terhadap agama lain pula, mungkin Barat yang bertradisikan Kristian lebih toleran kepada agama-agama bukan Islam seperti Yahudi, Buddha dan Hindu. Para pengkaji menyebut mengenai sindrom Perang Salib yang menyebabkan perseteruan antara Islam dan Kristian lebih tajam. Ia membawa kepada fenomena penjajahan yang meletakkan Islam ditekan oleh Barat dan kesannya tidak berkesudahan hingga ke hari ini.

Tetapi sejarah, sama ada Perang Salib mahupun penjajahan tidak wajar mendatangkan kesan yang berpanjangan hingga menyebabkan generasi akan datang terus hidup porak peranda kerana kejadian-kejadian masa lalu yang bukan hasil daripada perbuatan atau pertimbangan mereka pun.

Justeru apabila sesebuah negara diwujudkan, khususnya melalui proses kemerdekaan daripada penjajahan, perhatian diberikan secara teliti supaya semua rakyatnya tanpa mengira anutan agama dapat hidup secara harmoni. Ini kerana perbalahan kerana agama hanya akan menghancurkan negara. Tidak ada gunakanya saling berseteru dengan berbalas-balasan dendam yang tidak ada penghujungnya.

Apabila sesebuah negara baru diisytiharkan, ia wajar menjadi titik mula sesebuah muafakat antara rakyat yang sudah ditakdirkan hidup bersama dalam tanahair yang dikongsi.

Inilah apa yang berlaku pada 31 Ogos 1957 terhadap Persekutuan Tanah Melayu yang di peringkat antarabangsa dikenali sebagai Federation of Malaya. Negara ini beruntung kerana perlembagaan yang digubal untuknya mengambil kira secara teliti hubungan antara agama supaya keharmonian dapat diwujudkan bagi kelangsungan hidup rakyatnya.

Agama rasmi negara ialah Islam dan semua rakyatnya bebas mengamalkan anutan agama masing-masing. Itu asas penting dalam perlembagaan negara. Kepentingan ini dapat difahami apabila diambil kira apakah yang paling penting dalam kewujudan seseorang manusia kalau tidak agamanya. Lebih-lebih lagi bagi orang Melayu.

Justeru soal agama adalah paling penting disebut dalam perlembagaan. Ia mendasari kepada tujuan bernegara itu sendiri. Perdamaian dan keselamatan adalah paling asas kepada rakyat untuk hidup dan berzuriat. Maka dalam kehidupan beragama, ia harus bersifat harmoni. Semua rakyat bebas mengamalkan agama masing-masing. Kedudukan rasmi Islam sebagai agama rasmi adalah berasaskan kepada sejarah di mana Persekutuan Tanah Melayu yang kemudian menjadi Persekutuan Malaysia terdiri daripada negeri Melayu yang agama rasminya adalah Islam.

Maka inilah asasnya tetapi keluhuran perlembagaan hanya dapat diwujudkan jika semua rakyat mempertahankan dan melaksanakannya.

Walau indah manapun perlembagaan jika rakyat umumnya tidak menghormati, maka ia hanya secebis kertas yang tidak bermakna. Akibatnya negara akan porak peranda dengan bergantung pada siapa yang kuat dia yang berkuasa.

Sistem di mana siapa yang kuat akan berkuasa hanya akan mendatangkan mudarat kepada manusia. Pengalaman ini sudah dilalui oleh manusia berzaman-zaman dahulu. Perang yang tidak berkesudahan secara bersilih ganti.

Perang Dunia Kedua adalah paling dahsyat.

Kalau dilihat kembali memang dirasakan bahawa orang dahulu yang hanya hidup atas kekuatan adalah suatu yang pelik, dari sudut kaca mata hari ini. Ia seolah-olah tidak bijak dan tidak waras.

Disedari

Hanya setelah manusia hampir musuh dengan bom atom, barulah disedari bahawa perang tidak membawa sebarang keuntungan. Akhirnya diisytiharkan Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu dan diwujudkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya manusia tidak berperang dan berbunuhan sesama sendiri. Juga diisytiharkan mengenai Hak Asasi Manusia supaya menjadi pegangan manusia sejagat bagi mengelak sebilangan daripadanya dijajah dan ditindas oleh pihak yang kuat.

Atas runtuhan dunia lepas perang inilah Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dan mencapai kemerdekaan. Dari awal lagi disedari bahawa musuh utama negara adalah perkauman dan pertelingkahan antara agama. Banyak undang-undang digubal bagi mengelak sebarang pergaduhan antara kaum dan agama.

Tambahan pula, di Malaysia, kaum dikaitkan dengan agama. Maka semua pihak mesti berasa sensitif terhadap apa jua kejadian yang boleh membawa padah pertelingkahan agama. Tidak ada tolak ansur dari segi ini. Tolak ansur antara agama hanya dapat berlaku jika masyarakat bersikap tidak tolak ansur kepada sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan keharmonian beragama.

Sudah kelihatan banyak contoh dalam sepuluh dan dua puluh tahun kebelakangan ini apabila pergaduhan antara agama hanya membawa kesusahan dan penderitaan.

Apa yang berlaku di Indonesia, India dan Bosnia-Herzegovina sudah cukup menjadi iktibar ngeri supaya soal agama jangan sekali-kali dibiarkan berlarutan hingga akhirnya merosakkan negara dan menderitakan rakyat.

Dalam hal ini, perhatian lebih wajar diberikan kepada umat Islam sendiri, bukan saja di seluruh dunia tetapi di Malaysia. Sebagai penganut agama yang sebenar dan jelas, maka tanggungjawab orang Islam adalah lebih besar bagi memelihara kerukunan hidup beragama bukan saja di malaysia tetapi di seluruh dunia.

Pada zaman ini, dengan globalisasi dan teknologi maklumat serta komunikasi, apa yang berlaku di negara ini tidak akan terpencil daripada perkembangan dunia. Semua orang Islam tidak kira di mana pun mereka berada mempunyai tanggungjawab memelihara nama baik Islam sebagai agama keamanan dan toleran.

Lebih-lebih lagi di negara di mana umat Islam adalah majoriti serta dominan dan memiliki kuasa. Maka dalam keadaan itu, umat Islam mempunyai lebih tanggungjawab memelihara keharmonian melalui perlindungan hak terhadap golongan minoriti bukan Islam.

Yang majoriti mesti melindungi minoriti. Yang kuat melindungi yang lemah. Dan yang kaya melindungi yang miskin.

Ini kerana yang majoriti tidak wajar berasa terancam oleh minoriti. Lebih-lebih lagi umat Islam. Keyakinan terhadap kekuatan diri dalam akidah, lebih-lebih lagi sebagai majoriti tidak wajar terjejas dengan sebarang perasaan terancam. Kalau golongan majoriti terancam, apatah lagi pihak minoriti.

Kelemahan umat Islam di negara ini adalah dalam bidang ekonomi. Dalam hal ini, umat Islam adalah minoriti. Golongan majoriti dalam bidang ekonomi adalah mereka yang beragama Buddha-Taoisme- Konfusianisme. Maka mereka pula yang wajar melindungi minoriti dari segi ekonomi.

Maka dalam hal ini perhatian umat Islam wajar meningkatkan kekuatan ekonomi. Ini kerana dengan kedudukan ekonomi yang baik akan mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni dan perbalahan kaum dapat dielakkan.

Tetapi kemajuan ekonomi umat Islam di negara ini hanya dapat dicapai melalui suasana harmoni dalam negara. Sementara kunci kepada keharmonian adalah hubungan antara penganut agama yang baik.

Allah SWT menurunkan wahyu kepada Rasulullah SAW sebagai panduan kepada manusia untuk hidup secara aman.

Yang Benar
Arman Azha Hj Abu HAnifah
Ketua Wira Perkasa
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia

No comments: