Saturday, April 2, 2011

Mitos Hang Nadim Pulak



Salam Sahabat2 Yang Di Hormati, Sebentar Tadi Saya Mendapat Satu Panggilan Telepon Daripada Salah Seorang Sahabat Saya Mengenai 1 Artikel di Dalam Malaysia Kini.

Ish2 Macam2 Citer Dan Spekulasi Keluar Tadi Yang Pelik Saya Tiada Satu Komen Pun Isu Ni..

Antara Umno-PERKASA, Arman-Hang Nadim
Jimadie Shah Othman
Apr 2, 11 10:35am

Peletakan jawatan Arman Azha Abu Hanifah sebagai Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Isnin lalu boleh dilihat daripada pelbagai sudut.

Ada yang mengaitkannya dengan pergeseran dalaman NGO Melayu itu dan juga perbezaan pendapat dan ideologi di kalangan pemimpinnya serta juga kegagalan mendapatkan projek. Tetapi yang paling menarik, ada yang mengatakan ia ada kena mengena dengan pilihan raya umum yang akan datang.



Ini mengingatkan kira kepada kisah Hang Nadim yang dicatatkan oleh Tun Seri Lanang dalam Sejarah Melayu. Menurut kisahnya, Hang Nadim, anak muda yang menyelamatkan Temasik daripada serangan todak tetapi akhirnya dihukum bunuh oleh sultan.

'Dosa' Hang Nadim cuma satu, beliau berakal geliga walaupun masih kecil. Ketika orang ramai menahan serangan todak dengan betis sendiri, Hang Nadim mencadangkan digunakan batang pisang.

Kebijaksanaan ini yang merunsingkan sultan. Kelebihan itu dikhuatiri digunakan Hang Nadim untuk menggulingkan baginda pada suatu hari nanti.

Cerita popular itu, walaupun dianggap mitos, boleh dibandingkan dengan analisis beberapa pemimpin Pakatan Rakyat terhadap kedudukan PERKASA dalam politik Malaysia.

Menarik untuk dinilai masa depan NGO yang dalam umur baru tiga tahun didaftarkan, sudah mendapat perhatian meluas dalam arena politik negara ini.

Menurut analis itu, pengunduran Arman dilihat sebagai satu tanda bahawa peranan pertubuhan itu sudah cukup dan kini harus perlahan-lahan menjadi low profile. Dalam bahasa Sejarah Melayu, perkara inilah yang disebut sebagai pembunuhan Hang Nadim.

1Malaysia

Analisis itu juga dibuat dengan menjangkakan PERKASA mempunyai hubungan amat rapat dengan Umno. NGO itu didakwa melaksanakan kerja-kerja berbentuk 'perkauman' yang tidak boleh dilakukan atas nama Umno yang kini bersungguh-sungguh mahu menambat kembali hati bukan Melayu melalui konsep 1Malaysia.



Cakap-cakap itu antaranya mendakwa, Umno sebagai tulang belakang BN kini sudah pulih dan keadaan terbaik untuk menebus luka akibat kehilangan empat negeri dpada pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu.

Ini berdasarkan beberapa perkembangan. Antaranya, tinjauan badan penyelidik Merdeka Center bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang genap setahun menerajui negara kini amat popular. Seramai 68 peratus rakyat Malaysia dikatakan puas hati dengan prestasinya.

Justeru, sumber-sumber mendakwa, terdapat usaha melemahkan PERKASA, antaranya dengan 'mengambil' seorang demi seorang pemimpin popular pertubuhan itu, termasuk Arman dan Ketua Wirawatinya Raihan Sulaiman Palestine.

Raihan dilaporkan meninggalkan PERKASA sebulan lebih awal tetapi memilih tidak mengumumkannya di media.

Peletakan jawatan kedua-dua pemimpin lantang itu turut dikaitkan dengan ikrar Najib bahawa BN akan meletakkan calon yang berupaya menang.

Perkara itu turut ditegaskan lagi semalam oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelang pilihan raya Sarawak pada 16 April ini.

Ia juga nampaknya bukan sekadar kata-kata apabila 25 peratus calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) - tulang belakang BN di Sarawak - digantikan dengan calon muka baru.

Di Semenanjung, masalahnya, banyak pemimpin PERKASA kini didakwa lebih popular daripada pemimpin Umno sendiri. Maka, peluang mereka untuk naik dalam NGO pimpinan Datuk Ibrahim Ali itu juga dikatakan lebih mudah daripada menggunakan saluran parti.

Dianggap ekstrim, perkauman

Bagaimanapun, realitinya, tokoh-tokoh itu dilihat mustahil dibenarkan bertanding selagi dikaitkan dengan PERKASA - pertubuhan yang dianggap ekstrim dan perkauman, terutamanya oleh masyarakat Cina dan India.



Dilema ini boleh difahami berdasarkan komen setiausaha agung PERKASA Syed Hassan Syed Ali pada Isnin lalu, ketika Arman dengan rasminya mengumumkan meletakkan jawatannya.

"Adalah sukar bila beliau (Arman) berceramah di platform Pemuda Umno kerana pihak-pihak lain akan anggap suaranya sebagai suara PERKASA.

"Begitu juga jika beliau di ceramah-ceramah PERKASA, pihak-pihak tertentu akan kaitkan dengan suara Umno," kata Syed Hassan dalam satu kenyataan.

Menurut sumber-sumber Umno pula, Arman kini digosipkan sedang mengintai kerusi Taman Medan dalam parlimen Petaling Jaya Utara yang dirampas PKR pada pilihan raya umum 2008 lalu.

Bagi mencabar penyandangnya, Haniza Talha (kiri) yang juga timbalan speaker Selangor bukanlah kerja mudah. Tambahan lagi, DUN itu merupakan kawasan campuran dengan peratusan pengundi bukan Melayu juga agak tinggi.

Justeru, tambah sumber-sumber, Arman perlu keluar daripada kepompong PERKASA dan aktif bersama Umno Petaling Jaya Utara yang mana beliau juga merupakan ketua Pemuda di bahagian itu. ( Pembetulan Ketua Penerangan Pemuda PJU )

Malah, sambil bergurau, sumber-sumber mendakwa, hasrat dan cita-cita Arman itu tidak boleh disembunyikan lagi apabila beliau pernah meletakkan perkataan "YB" di pangkal namanya di laman sosial tidak berapa lama dahulu.



Taman Medan merupakan kawasan campuran dengan Melayu sebanyak 60.9 peratus, Cina (21.7 peratus), India (16.3) dan kaum lain sebanyak 1.1 peratus daripada keseluruhan 40,009 pengundi. Pada 2008, Haniza mengalahkan calon BN Munaliza Hamzah dengan majoriti 4,433 undi.

Ketuanan Melayu

Justeru, mampukah BN memujuk masyarakat Cina dan India bagi menyokong calon Umno berketurunan PERKASA yang secara terangan memperjuangkan ketuanan Melayu itu?

Sementara itu, melihat kepada sejarah kelahiran PERKASA yang didaftarkan pada 12 September 2008 - enam bulan selepas BN pertama kali hilang majoriti dua pertiga dalam parlimen - NGO itu dianggap sebagai platform baru kepada anggota Umno yang terpinggir sebelum ini.

Walaupun bersama PERKASA, mereka ini kebanyakannya masih ahli parti Melayu itu dan setia menunggu peluang masing-masing. Penglibatan mereka ternyata berjaya menumpang populariti mendadak yang diraih pertubuhan itu.

Memandangkan masa dianggap sudah suntuk, dijangka ramai lagi yang akan menuruti jejak langkah Arman bagi kembali aktif di pentas Umno, sekali gus mengintai kerusi pada pilihan raya nanti.



Ini dikira jalan pintas berbanding penglibatan melalui cara konvensional di mana dalam parti dengan keanggotaan 3 juta orang itu, peluang untuk menonjol dilihat amat sukar, sehingga perebutan ketua cawangan sahaja memerlukan tenaga dan wang ringgit yang banyak.



Persoalannnya, jika perkara ini bebar-benar berlaku, bagaimanakah masa depan PERKASA selepas ini, terutamanya apabila selesainya pilihan raya umum yang menurut vsesetengah penganalisis dijangka berlangsung tahun ini?

Terus jadi kaya

Sementara itu, daripada aspek dalaman pula, bak kata pepatah, 'rumah siap pahat berbunyi', pemerhati politik berpendapat masih terdapat sesuatu yang tidak kena pada NGO itu apabila disorot secara lebih dekat.

Walaupun Arman tegas menafikan pengundurannya berkaitan dengan masalah dalaman dan kegagalan mendapatkan projek pada Isnin lalu, kenyataan itu tidak selari dengan 'isyarat' daripada Raihan baru-baru ini.

Kelmarin, berdasarkan rakaman di laman Youtube, apa yang seolah-olah terbuku di hati Raihan mula tergambar sedikit demi sedikit apabila diminta mengulas mengenai peletakan jawatannya.

Ketika ditemui pemberita selepas menghadiri forum ekonomi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, walaupun dilaporkan mendakwa peletakan jawatannya atas sebab peribadi, Raihan mula bercakap tentang pihak yang "menggunakan" PERKASA untuk tujuan tertentu.

"Kalau masuk PERKASA terus jadi kaya, (ini) nampak hodoh," katanya sambil menceritakan pengalaman sukarnya mendapat pekerjaan apabila menjadi anggota NGO Melayu itu.

Tanpa menyebut nama secara khusus, Raihan juga menceritakan pengorbanan anggota bawahan NGO itu yang memperjuangkan nasib Melayu secara sukarela dengan berkorban masa dan wang ringgit.



Dengan segala spekulasi dan tanda tanya berhubung situasi dan masa depan PERKASA, mungkin rombakan yang akan dilakukannya dalam masa terdekat ini mampu memberi isyarat tertentu yang bakal mencerahkan kita semua.

Jawapannya masih pada presidennya Datuk Ibrahim Ali

No comments: