Monday, February 27, 2012

Rundingan Meja Bulat "Tamadun Melayu Pasca Modenisasi" - Tun M



"Malaysia upaya ada sistem sendiri yang unik" - kata Tun Dr. Mahathir

Semalam satu rundingan meja bulat telah diadakan dan dipengerusikan oleh YBhg Tun M Bersama2 rakan2 NGO2 serta pemikir2 akedemik drpd seluruh negara telah hadir.

"Malaysia tidak harus terlalu banyak bergantung kepada Barat, sebaliknya perlu menghasilkan sistemnya sendiri" kata Tun Dr. Mahathir Mohamad



Beliau berkata, Malaysia berbeza daripada negara-negara Barat dan unik dalam caranya sendiri, justeru sistem dari Barat mungkin tidak semuanya bersesuaian.

"Oleh itu, kita perlu memikirkan semula apa yang telah kita terima pakai dan mewujudkan satu sistem yang baru serta lebih kreatif dalam bidang politik, sosial dan ekonomi negara ini."



"Kita tidak harus mengandaikan bahawa hanya mereka (Barat) yang mempunyai keupayaan untuk menghasilkan idea berinovasi. Saya percaya kita juga boleh menghasilkan idea yang berinovasi. Jadi, kesimpulannya, dalam bidang politik, sosial dan ekonomi, jalan untuk maju ke hadapan adalah untuk menyemak semula, meneliti semua sistem yang datang dari Barat.



"Lihat sama ada ia bersesuaian bagi kita, dan boleh menyumbang kepada pertumbuhan negara kita atau tidak. Kita mesti menyemak perkara yang kita lakukan hari ini sama ada kita mahu mengikut Barat atau kita melakukannya kerana ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi atau masa depan kita,” katanya.

Bila bangsa kita lemah, mula ada suara2 nakal pertikaian "Hang Tuah Dan Hang Jebat...."

Kerana itu kita semua harus bersatu untuk terus pertahankan Bangsa Melayu, Agama Islam demi Masa hadapan tanah air kita.

Perbincangan bermula drpd jam 2ptg dan tamat pada jam 5.30ptg.

Fenomena menarik dalam pergaulan dunia Abad 21 dan abad-abad masa depan adalah pencarian fungsi batas-batas fizik ekoposial (ekonomi, politik, dan sosial) dan budaya sebagai pengadiluhung tradisi dan peradaban bangsa. Penggunaan jasa saitek (sains dan teknologi) informasi, komunikasi dan transportasi, serta tekanan-tekanan perubahan kepercayaan sosio-geografi akibat meledaknya pengaruh kepercayaan liberalisasi melalui globalisasi, yang mencetuskan hegemonia kreolisasi yang terus meluas mendorong interaksi ekoposial dan budaya antar bangsa yang semakin tinggi dan semakin bebas. Pada saat yang sama, nasionalisme sebagai ideologi bangsa mengalami erosi fungsional.



Kemandirian tradisi adalah kekuatan utama bangsa berkembang pada saat bangsa-bangsa besar yang menaja dan mendakwah kepercayaan globalisasi melalui kempen-kempen atas nama hak asasi manusia, demokrasi dan liberalisasi, dan ilmu pengetahuan dan teknologi melakukan hegemoni bagi kepentingan ekoposial sebagaimana jenayah kolonialisme pada masa lalu. Campur tangan, penundukan dan penjajahan ke atas bangsa lain tidak lagi hanya secara mengandalkan kekuatan militer dan peperangan fizikal dengan bunuh dan membunuh, perkosa dan memperkosa, takluk dan menakluk, tetapi ke atas nilai-nilai budaya yang lebih mematikan. Perubahan cara menguruskan kehidupan apabila berkembangnya segala macam faedah dan mahsul dan lambungan produk-produk media baru yang lebih terbuka, bebas dan mudah menjadikan kepercayaan terhadap nilai dan sistem, budaya dan warisan turun-temurun yang dimiliki secara singular telah tidak sesuai pada zaman pluralisme.

Kuasa-kuasa besar yang sememangnya tidak pernah berhenti dalam mencapai agenda penaklukan ke atas bangsa lain kerana demikian seluruh perbelanjaan baik yang ditatangkan atas nama hak asasi manusia, demokrasi dan liberalisasi, sains dan teknologi yang digerakkan dalam misi kemubalighan globalisasi, dan sekarang digandakan melalui isu terorisme (Windelband, 1980: 160), dan semuanya akan menjadi lebih cepat dan lebih mudah kerja-kerja dan rencana-rencana hegemoni mereka itu sekiranya kekuatan sesuatu bangsa itu sudah dilemahkan. Kekuatan sesuatu bangsa itu adalah kekuatan yang ada pada tradisi, kemandirian dan bersatu padu di atas nih nasionalisme, di atas leluhur peradaban yang menjadikan mereka sebagai bangsa. Tanpa ideologi yang mampu menyatukan wawasan kebatinan warga, perpaduan dan keadilan, dan demokrasi sejati dan kekukuhan budaya sebagai suatu kebijakan menguruskan negara akan melemahkan bangsa dan negara, maksud kertas ini, negara kita yang dicintai Malaysia. Ini penting dalam bertindak balas atas gejala global secara cerdas, arif dan manusiawi.



Para pendiri bangsa; dari Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun ke Parameswara, Sultan Mansur Syah dan Tun Perak berserta Hang Tuah, Hang Jebat lima bersaudara, ke Dato Bahaman, Dato’ Sagor, Tok Janggut, Tok Kenali, ke Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Ibrahim Yaacob, Tun Abdul Razak, … sudah berhasil membangunkan bangsa (nation building) namun bagi membangunkan perwatakan bangsa nampaknya memerlukan waktu yang lebih panjang dengan kesabaran dan konsistensi. Upaya membangunkan perwatakan bangsa tersebut nampaknya mengalami pasang surut sejalan dengan pergulatan bangsa dalam menentukan arah perjuangan dan juga arah pembangunan.

Sebagai sebuah negara baru, selepas dijajah dengan kejamnya beratus tahun, dengan segala macam musibah dan petaka jentaka menyerang yang sebagiannya meranapkan kebijakan dan kebaikan, kemurnian dan peradaban sedia ada; dan sebahagian lagi mengajar pengalaman dan membentuk perjuangan, masalah yang ditanggung oleh negara ini adalah yang bersangkut pada pengurusan politik, terutama tentang persoalan ideologi negara, sesuatu hal yang mendasar yang akan menentukan wujudnya budaya dan jati diri bangsa masa depan. Pengurusan ekoposial negara sudah berada di tangan bangsa Malaysia sendiri dan ketika inilah suatu kemungkinan ‘ya’ dan ‘tidak’ menjadi pertaruhan terutama semangat bagi membangunkan budaya dan jati diri berasaskan paripurna leluhur, tradisi, adat resam, cara hidup, kepercayaan, agama, Islam dan tamadun yang sudah mengukuh sejak asal usul bangsa bermula lagi sama ada semakin menguat atau sebaliknya.

Tetapi apa yang dilihat kepada apa yang sedang terjadi pada hari ini, dalam perjalanan menguruskan negara itu, di dalam kerja-kerja pembangunannya kelihatan kegelojohan pembangunan berorientasikan material sehingga menumbuh budaya yang tidak sehaluan, tidak secita-cita dengan semangat dan tamadun bangsa. Menguatnya proses materialisasi melalui kerja-kerja urbanisasi dan modernisasi sudah menimbulkan menguatnya proses dehumanisasi dalam berbagai bidang kehidupan sehingga terasa segala apa yang termilik dalam peradaban sedia ada dalam bangsa ini sudah tidak terpakai lagi, sudah tidak berguna lagi. Segala nilai dan aset budaya yang selama ini membentuk dan membina peradaban bangsa dianggap suatu hal yang kolot, primitif dan mengancam kepentingan pembangunan ekonomi. Lantas semua dasar, gerakan dan projek pembangunan ekonomi yang direncanakan, yang digerakkan dengan pantas dan dipaksa untuk berbuat apa sahaja sementelah mempunyai peluang bagi mengaut keuntungan dan mencipta kekayaan berganda-ganda rupanya sama sekali tidak diimbangi dengan misi dan gerakan pembangunan perwatakan bangsa.



Akhirnya ini mengakibatkan berlakunya krisis budaya, yang kemudian berakhir pada lemahnya ketahanan budaya, dan bangsa terkapai-kapai dalam keliru, berpecah belah akibat daifnya pengetahuan terhadap sejarah dan tamadun, dan salah sangka terhadap budaya sendiri sehingga jati diri sebagai bangsa yang memiliki peradaban tinggi sudah mati.

No comments: