Wednesday, September 18, 2013

'Kurang gigit' Arman tawar diri jawatan Exco Pemuda


'Kurang gigit' soal Melayu, Islam: Arman tawar diri jawatan Exco Pemuda


pada 19-09-2013 12:09 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pemuda Umno Petaling Jaya Utara Arman Azha Abu Hanifah menawarkan diri sebagai Exco Pemuda Umno Pusat pada pemilihan Oktober ini kerana menyifatkan parti tunjang Barisan Nasional itu 'kurang menggigit' dalam berdepan konflik agama dan bangsa.

Bekas Ketua Wira PERKASA yang lantang bersuara mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu, menegaskan barisan kepimpinan Pemuda Umno memerlukan individu yang konsisten dalam perjuangan.

Arman berharap rekod dan gerak kerja beliau dalam parti dan PERKASA sebelum ini akan digunakan oleh perwakilan untuk menilai kemampuannya membarisi Exco Pemuda


"Bagi saya satu sahaja, kita lihat sekarang Pemuda Umno perlu satu lagi lonjakan di mana kita memerlukan suara yang lantang dalam memperjuangkan hak Bumiputera dan sebagainya.

"Saya rasakan saya telah membuktikan gerak kerja sepanjang lima tahun sebelum ini di mana saya secara konsisten memperjuangkan hak-hak kepentingan Bumiputera daripada zaman saya masih memegang jawatan Ketua Wira PERKASA," katanya kepada Antarapos. 

Rekod dan gerak kerja konsisten jadi kayu ukur

Menurut Arman yang juga Naib Pengerusi Unit Pidato Pemuda BN, penyertaannya dalam pemilihan parti diharap memberi peluang kepada akar umbi Pemuda mencorakkan barisan kepimpinan yang diperlukan.

"Ini menunjukkan saya juga secara konsisten memperjuangkan isu-isu berkaitan agama Islam dan bangsa Melayu.


"...kerana hari ini kita lihat apabila kekurangan orang yang berani dan lantang bersuara mempertahankan isu-isu Melayu, Umno dilihat sebagai sebuah parti yang kurang menggigit dan kurang berani dalam isu-isu agama dan bangsa," kata pemimpin muda ini.





Tambah Arman, kepimpinan Pemuda Umno di bawah Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah membawa sayap itu ke tahap terbaik melalui agenda politik baru.


Namun jelas beliau, agenda politik baru perlu mempunyai pemimpin yang lantang dalam isu agama dan bangsa selari dengan prinsip perjuangan parti Melayu terbesar itu.


"Pemuda bergerak dalam satu skop yang berbeza, di bawah kepimpinan YB Khairy Jamaluddin kita lihat beliau terus membawa agenda politik baru dan ini satu suntikan semangat baru dalam perjuangan Pemuda Umno.

"Tapi dalam masa yang sama juga kita masih memerlukan golongan yang lantang bersuara tentang isu agama dan bangsa," katanya.


Mengulas lanjut, Arman berkata dengan format baharu pencalonan yang terbuka kepada semua ahli Umno memberi peluang kepadanya untuk turut sama mencuba nasib dalam pemilihan kali ini.

Pendaftaran penamaan calon untuk pergerakan sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri parti itu akan dijalankan esok.

Umno melaksanakan sistem pemilihan baru mulai tahun ini dengan memberikan hampir 150,000 pemimpin pelbagai peringkat hak mengundi secara langsung untuk menentukan ahli Majlis Tertinggi serta Exco Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.

1 comment:

Anonymous said...

Suruh dia perjuang kan islam pd family dia dulu lah..