Tuesday, May 17, 2011

RON95 VS PEMUDA UMNO

RON95: Kaji beban rakyat sebelum naikkan harga




Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

TEMERLOH 17 Mei — Kerajaan diminta menjalankan kajian secara mendalam sebelum membuat keputusan menaikkan harga petrol RON95, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kerajaan perlu mencari satu mekanisme lain bagi menjimatkan pemberian subsidi untuk bahan bakar itu.

“Saya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai mekanisme lain yang boleh digunakan bagi menampung subsidi dan kenaikan harga minyak tersebut.

“Kerajaan juga boleh menggunakan pelbagai sumber cukai untuk menampung subsidi tersebut,” katanya yang juga Menteri Pertahanan dipetik Bernama hari ini.

Semalam, Pemuda Umno mendesak agar Putrajaya tidak menaikkan harga petrol RON95, sebaliknya mahu kerajaan mencari jalan ke arah penjimatan bestari dan penerokaaan usaha bagi meningkatkan nilai aset dan hasil dilaksanakan terlebih dahulu demi kebajikan rakyat.


Pergerakan itu juga berkata pihaknya gusar dengan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang menggesa rakyat agar bersiap sedia dengan kemungkinan kenaikan harga minyak RON95.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, usaha-usaha ke arah penjimatan kos pengurusan dan peningkatan produktiviti serta kecekapan kerajaan haruslah mendahului sebarang langkah pengurangan perbelanjaan fiskal berupa pengurangan subsidi minyak.

Di Ipoh, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mengkaji semula semua harga produk petroleum termasuk petrol RON95 bulan depan bagi menentukan harga sedia ada akan kekal atau sebaliknya.



Ismail Sabri berkata, kajian semula oleh kementerian itu bersama-sama agensi lain seperti Kementerian Kewangan dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) akan menentukan sama ada harga sedia ada kekal atau dinaikkan berdasarkan tanggungan subsidi kerajaan.

“Mengikut pelan rasionalisasi subsidi, satu kajian semula akan dibuat enam bulan sekali terhadap subsidi semua produk. Jadi untuk petrol RON95, diesel dan LPG (gas cecair asli) kajian terakhir dibuat pada Disember lalu.

“Ini bermakna bulan ini atau awal Jun akan berlaku kajian semula untuk pertengahan tahun… saya tidak boleh memberi gambaran apa yang akan berlaku, tetapi kajian akan berlaku dan tanggungan subsidi oleh kerajaan adalah tinggi,” katanya dalam laporan Bernama.

Ismail Sabri berkata, walaupun sebelum ini beliau berkata harga minyak tidak dinaikkan pada masa sekarang, tetapi ia tidak menjamin harga minyak akan kekal selama-lamanya kerana tanggungan subsidi kerajaan terhadap produk petroleum pada masa sekarang adalah tinggi.

“Tahun lepas, tanggungan subsidi kerajaan (bagi produk petroleum) adalah RM8 bilion apabila harga minyak dunia meningkat, dan tidak nampak trend itu akan menurun. Kalau keadaan itu berterusan, tanggungan subsidi kerajaan akan menjadi RM18 bilion tahun ini iaitu kenaikan RM10 bilion,” katanya.

Beliau berkata sekiranya subsidi dikurangkan, jumlah peruntukan RM10 bilion itu dapat digunakan bagi membina lebih banyak sekolah, jalan-jalan kampung, projek perumahan rakyat serta memberi lebih banyak bantuan pelajaran.

Katanya rakyat perlu sedar jumlah subsidi besar yang ditanggung kerajaan sepatutnya dibelanjakan untuk projek yang lebih memberi manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat.

No comments: