KUALA LUMPUR 12 Julai - Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam-Melayu mendesak kerajaan mengusir Duta Vatican City ke Malaysia, Bishop Joseph Marino kerana menyokong penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di negara ini.
Pertubuhan itu dalam kenyataan di sini hari ini berkata, tindakan tersebut perlu diambil kerana beliau mencampuri urusan hal ehwal Islam dan pentadbiran negara.
"Tindakan biadab dan kurang ajar duta tersebut secara jelas membuktikan kehadiran beliau di negara ini bukanlah dengan niat yang baik tetapi tersirat agenda yang lebih licik."
"Seharusnya duta yang dilantik membantu menjalinkan hubungan yang baik di antara negara tetapi perbuatan Marino sudah tentu melampaui batas bidang tugasnya sebagai duta dan berniat jahat," kata kenyataan itu.
Pertubuhan tersebut mewakili beberapa NGO Melayu dan Islam termasuk Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M ), Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia, Permuafakatan Wangsa Malaysia (Pewangsa Malaysia), Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM) dan Pewaris Bangsa (ProWaris).
Dalam wawancara pertamanya dengan sebuah portal berita di negara ini semalam, Marino menyokong pendirian gereja Katholik di Malaysia berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini.
Marino memuji hujah-hujah dikemukakan Persekutuan Kristian Malaysia bagi membolehkan perkataan 'Allah' dalam teks dirujuk kepada tuhan.Walaupun isu itu masih belum diputuskan di mahkamah selain menjadi isu dalaman di negara ini, Marino tetap menyifatkan hujah-hujah yang dikemukakan sebagai agak logik dan boleh diterima.
Dalam pada itu, pertubuhan itu berkata, mereka bimbang jika perbuatan di luar batasan diplomatik tersebut tidak ditangani dengan segera dan tegas oleh Kementerian Luar maka sehingga menjurus kepada campur tangan yang lebih serius termasuk mendokong gerakan Kristianisasi yang disasarkan kepada umat Islam di negara ini.
Tegasnya, Marino sudah melangkaui bidang tugasnya sebagai seorang diplomat yang mewakili Paus Francis dengan mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan serta memihak kepada penganut Kristian di negara ini dengan menekan umat Islam.
Sehubungan itu kata pertubuhan berkenaan, perbuatan biadab mencampuri urusan negara ini yang dilihat begitu sensitif yang boleh merosakkan perhubungan kaum di negara ini harus ditangani dengan tegas tanpa sebarang kompromi sebelum nasi menjadi bubur.
"Kami juga khuatir apa yang dilakukan sudah tentu akan menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini yang tidak mustahil akan mengambil tindakan undang-undang sendiri yang boleh menjejaskan perpaduan yang sedia terjalin serta kemakmuran negara ini dengan berbangkitnya isu-isu keagamaan seperti ini."
"Sehubungan itu kami, mendesak Kementerian Luar mengecam kenyataan Marino tersebut bagi menandakan pendirian tegas Malaysia terhadap isu ini. Gabungan NGO Islam-Melayu akan menulis surat bantahan kepada Paus Francis mengenai tingkah laku dan kenyataan biadab duta beliau," tegas kenyataan tersebut.
2 comments:
sifat penjajah yang diketahui umum dan sifat pendatang yang jelas terbukti agendanya. Namun yang tak difahami adalah rakyat melayu yang masih tidak sedar diri dan menyokong golongan ini.
Allah jua yang memberi hidayah dan petunjuk kepada rakyat malaysia dan melayu.
Entah bila melayu hendak bangun dari mimpi... realitinya islam diasak dan diserang oleh musuh islam... PAS hidup dengan mimpi kuasa persekutuan, tidur dengan pelacur2 islam dap dan pkr; dada pas membuak penuh kebencian pemimpin uzur kepada umno... lama2 anak cucu cicit menyimpang sesat
Post a Comment