)
)
)
KAJANG, 11 Mac – Persembahan ‘War Cry’ Briged Kesatria Pemuda UMNO mencuri tumpuan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang berlangsung di Kompleks Sukan Bangi, pagi tadi. Persembahan penuh bersemangat itu mengiringi calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun yang menyerahkan kertas penamaan pada jam 9.07 pagi.
Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar, Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin serta pimpinan BN lain serta penyokong parti turut memberikan semangat dan kelihatan teruja dengan persembahan tersebut.
pemimpin-pemuda-bn-khairy-penamaan-calon-kajang-kompleks-sukan-mpkj-selangor
Suasana meriah persembahan ‘War Cry’ Pemuda itu turut memberikan ransangan kepada penyokong BN yang lain untuk sama-sama melaungkan kata-kata semangat sementara menunggu pengumuman rasmi daripada SPR calon yang layak bertanding.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal ketika ditemui melahirkan keyakinan BN akan sudah pasti akan melakukan kempen yang terbaik sepanjang tempoh berkempen yang bermula hari ini.
“Walaupun kita dikatakan ‘underdog’ kita yakin dan insyaallah akan memberikan cabaran serta saingan yang terbaik untuk berdepan parti lawan.
“Kita punya cara, kita punya kempen sama sahaja walaupun berlaku pertukaran calon oleh pihak lawan. Cara dan kaedah tentunya untuk menang. Tidak ada perubahan,” katanya.
Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Liew Tiong Lai turut melontarkan keyakinan serta berharap pengundi di Kajang meletakkan tahap ‘standard ‘demokrasi yang lebih tinggi dan tidak lagi dipermainkan oleh Anwar Ibrahim.
“PRK ini disengajakan oleh PKR dan oleh itu pengundi di Kajang perlu menolak sikap sedemikian. Bila dah diberikan kepercayaan sebelum ini ditinggalkan, kali ini datang lagi dengan pelbagai alasan.
“Apapun PKR telah melakukan kesilapan besar apabila dengan sengaja mengadakan pilihan raya kecil. Saya rasa rakyat tidak boleh diperbodohkan dan kita harap pilihan raya kecil ini menjadi penentu bahawa mana-mana parti yang sengaja mahu kosongkan kerusi perlu hadapi padahnya.
“Kita juga yakin sokongan pengundi Cina akan bertambah dan kerjasama daripada semua pihak menambahkan lagi keyakinan kita untuk berdepan PRK ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata BN masuk dalam mana-mana pilihan raya kecil bukan untuk kalah.
“Untuk itu kita akan berusaha sebaik muungkin dan penerangan khususnya akan melipatgandakan usaha serta tidak gentar siapa pun calon yang diketengahkan oleh pihak lawan.
“Pilihan raya kecil ini bukannya sebab simpati atas isu keluarga…kita masuk untuk memberikan pilihan kepada rakyat. Wan Azizah tidak sama dengan Chew Mei Fun yang mempunyai kekuatan pusat diperingkat untuk membantu penduduk Kajang.
“Mei Fun juga boleh jadi jambatan kepada BN…kerajaan pusat…Nak jadi ADUN bukan atas sebab simpati apa yang suami dah lakukan,” katanya.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PKR.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman mengumumkan bahawa Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon BN manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mewakili parti itu.
Pengumuman itu dibuat pada 10.10 pagi ini selepas proses penamaan calon tamat di pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.
Chew, 50, yang merupakan bekas timbalan menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat pada 2009 menyerahkan kertas penamaan pada jam 9.07 pagi, manakala Wan Azizah, 61, berbuat demikian pada 9.10 pagi.
PRK Kajang diadakan susulan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh, daripada PKR pada 27 Jan. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment