Friday, November 21, 2008

Hina Sangatkah Tun Mahathir Kepada Rakyat

Hina sangatkah Tun Mahathir kepada rakyat?

Semalam, apabila Dr Mahathir bercakap mengenai Bangsa Malaysia dan PM boleh jadi dari kaum bukan Melayu.. seperti biasa, beliau akan dikutuk dan dicaci. Secara peribadi, saya tidaklah taksub kepada beliau dan tidak juga membenci beliau. Tetapi, sehingga setakat ini (Tahun 2008), saya berpendapat beliau masih PM Malaysia yang paling berjaya dan paling cerdik dalam karier politik.

Seingat saya, ketika beliau masih berkuasa, arwah ayah saya amat membenci beliau.. pantang saja beliau muncul di kaca TV, pasti kami anak-beranak ‘melepas’ nak tengok TV kerana ianya telah ditutup atau dialih siarannya. Di kedai-kedai kopi, apabila orang-orang tua melihat saja gambar Dr Mahathir, terus saja mereka meludah ke tanah.. begitulah bencinya mereka kepada beliau.

Saya mengakui, Dr M bukan dewa atau malaikat.. tetapi bukan syaitan atau maha firaun juga. Ada orang yang lebih suci dari beliau, ada orang yang lebih buruk budi pekerti dari beliau. Ini hakikat yang kita harus terima..
Sekarang.. Malaysia sudah dimomokkan dengan frasa/slogan “Mahathirisme”, “Mahathir Comes Back!”, “Mahathir’s Puppet” dan pelbagai lagi perkataan untuk membayangkan kepulangan beliau tidak dialu-alukan lagi. Persoalannya.. beliau kini sudah berusia 80 an, rumah kata pergi.. kubur kata mari.. apa sangat yang rakyat (pembangkang) takut kepada orang tua ini?


Apa yang beliau heboh sangat sekarang ini hanyalah kelangsungan politik UMNO, apabila beliau mati.. hanya anak-anaknya sebagai penyambung harapannya (sekarang Mukhriz). Beliau sudah tua dan kaya raya.. Tamak sangatkah orang tua ini? Gila kuasa sangatkah orang tua ini? Jika dirinya tidak bersuara menentang Pak Lah, saya pasti kita masih dibayangi pentadbiran Pak Lah.. padahal Pak Lah punca rakyat Malaysia tidak berpuas hati sekarang. Tapi, kita masih berkata.. orang tua ini tidak sedar diri.

Setidak-tidaknya.. saya berterima kasih kepada beliau kerana berjaya memberi tekanan kepada Pak Lah untuk melepaskan jawatannya. Saya tidak sanggup menunggu sehingga PRU 13 semata-mata kerana mahukan Pak Lah meletak jawatan. Soal dosa-dosa silamnya, itu urusan beliau dengan Tuhan.. kita berharap dengan usianya yang semakin lanjut, jiwanya makin dekat dengan Tuhan.

Benarlah kata orang.. jika kita sudah dibenci, diberi bunga dibalas dengan tahi.. buatlah apa kebaikkan pun, pasti tidak dipandang orang. Lagi cepat kita mampus, lagi orang suka.. tapi kita jangan lupa, nasihat yang baik kita harus terima-pakai walaupun nasihat tersebut datangnya dari budak yang belum akil baligh.. inikan pula nasihat dari orang yang sudah berusia 80 an dan pernah menjadi orang No 1 dalam Malaysia.

Sebagai seorang Melayu dan Muslim.. kita harus menghormati orang tua, apabila berlaku pertembungan pendapat, kita jangan jadi kurang ajar. Orang tua boleh diajar tetapi dengan cara yang berhemah dan lemah-lembut, bukan dengan caci-maki dan herdikan. Jika Anwar yang dulunya rakus dan gila kuasa dalam UMNO boleh diberi peluang untuk berubah dan bertaubat, kenapa kita tidak boleh melakukan perkara yang serupa kepada Dr M?

Apa yang pasti.. mulut dan hati ahli Pakatan Rakyat hanya akan diam apabila Dr M menjadi ahli Pakatan Rakyat,.. mulut ahli-ahli UMNO hanya akan diam jika Dr M tidak mengkritik kepimpinan dan rasuah dalam UMNO,.. mulut ahli-ahli PAS hanya akan diam jika Dr M memakai kopiah dan duduk dalam masjid bersama-sama pemimpin PAS,.. mulut orang Cina dan India hanya akan diam jika Dr M melantik PM dari kaum mereka,.. mulut orang yang sakit hati hanya akan diam jika beliau sudah mati.

Sekiranya kita tidak mahu berfikir secara positif kepada seseorang, sampai bila-bila pun kita akan memandang serong kepada seseorang itu. Taksub sangat pun tidak boleh.. tak mahu pandang walau sebelah mata pun tidak boleh juga. Sebaik-baik manusia ada juga keburukkannya.. sejahat-jahat manusia, ada juga tempat baiknya.. terpulang kepada diri sendiri untuk memandangnya.

No comments: