Thursday, January 28, 2010

Harmoni dan Muhibbah Itu Yg Kita Perlukan Kini


BERSIKAP mengalah berpada-pada, tetapi merosakkan harta benda jangan sekali. Lebih-lebih lagi dalam kehidupan beragama. Sebagai manusia yang mempunyai emosi, sudah tentu penghinaan tertinggi ialah apabila Tuhan yang disembah dihina. Tentu itu kesakitan paling tinggi.

Tetapi dalam menanggung cabaran terhadap agama sendiri, jangan sekali-kali merosakkan rumah ibadat sesiapapun, atau melakukan sesuatu yang menimbulkan pergaduhan antara agama yang menyebabkan huru-hara kepada negara. Tentu itu bukan ajaran mana-mana agama, termasuk Islam sendiri.

Tujuan agama, tidak kira apapun adalah untuk memberikan makna kewujudan kepada penganutnya. Supaya manusia berasa tenteram dalam menghadapi kematian yang tidak dapat dielakkan, serta menerima dengan sabar segala kesusahan yang dilalui oleh manusia.

Bagi mereka yang beragama, Tuhan adalah paling utama yang diambil perhatian dalam kehidupan. Tentunya ia melibatkan emosi seseorang apabila timbul soal Tuhan dan agama.

Bagaimanapun, tidakkah Tuhan adalah Pencipta semua makhluk, tanpa mengira anutan agama? Malah orang yang tidak beragama atau atheis juga adalah ciptaan Tuhan.

Tidakkah aneh apabila melihat manusia saling berbunuhan kerana mempertahankan agama masing-masing? Kesemua pihak berjuang atas nama agama masing-masing? Mereka juga berperang dan saling berbunuhan serta merosakkan harta benda atas nama Tuhan masing-masing.

Hanya ada satu Tuhan untuk semua. Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Esa mencipta semua kewudjudan ini, tidak ada kecualinya.

Walaupun pelbagai agama memahami Tuhan dalam pelbagai bentuk dan cara, tetapi hakikatnya hanya Yang Maha Esa itu satu-satunya. Tidak kiralah apa yang dinamakan mereka. Begitu juga tidak kiralah bahasa yang digunakan mereka untuk menyebut mengenai Tuhan.

Bahasa berkembang dan istilah saling bertukar-tukar dari zaman ke zaman. Ia menjadi demikian adalah kerana takdir dan ketentuan Tuhan.

Adakah wajar manusia berbalah kerana agama dan kepercayaan? Dalam tradisi Islam perkara ini jelas, kamu dengan agamamu, kami dengan agama kami.

Untuk apa manusia saling berbalah hingga merosakkan harta benda dan berbunuh-bunuhan. Bukan saja kerana perbezaan agama, malah perbezaan mazhab sudah cukup untuk orang berbalah dan saling berbunuhan hingga runtuh sesebuah negara.

Di seluruh dunia dan sepanjang sejarah berapa banyak negara porak peranda akibat perbalahan agama yang tidak berkesudahan hingga turun-temurun.

Dalam memperjuangkan agama dirasakan bahawa mereka yang terlibat berasa telah melakukan kewajipan kerana mempertahankan agama dan Tuhan mereka.

Tidakkah terlintas di hati mereka bahawa Tuhan yang dipertahankan itu adalah juga Tuhan kepada semua makhluk tanpa mengira anutan agama masing-masing. Lebih-lebih lagi dalam agama Islam di mana Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Esa. Satu saja Tuhan walaupun terdapat 99 nama dalam bahasa Arab.

Allah SWT adalah Tuhan Maha Kuasa. Dia boleh melakukan apa saja. Tidak perlu bagi manusia mempertahankan-Nya. Kerana tidak ada sesiapa yang mempunyai kuasa lebih daripada-Nya. Maka tidak timbul soal seseorang mempertahankan-Nya atau mempertahankan nama-Nya. Sebaliknya Allah SWT merupakan pelindung bagi makhluknya.

Tetapi manusia tetap merupakan makhluk beremosi dan dalam soal agama, mereka boleh tersilap faham dan jalan. Ketika dia membunuh orang atas nama agama, dia menyangka dia membela agamanya, tetapi sebaliknya dia melanggar larangan agamanya sendiri, serta semangat kehidupan beragama itu. Disangka dia memperoleh pahala dengan memerangi penganut agama lain, tetapi hakikat dia telah melakukan dosa.

Mencemarkan

Dengan membunuh dan merosak harta benda penganut agama lain, seseorang itu bukan mempertahankan agamanya sendiri tetapi sebaliknya mencemarkan agamanya. Lebih-lebih lagi terhadap Islam di mana ketika ini, dunia, iaitu penganut agama lain memandang serong terhadap Islam.

Memang benar terdapat sikap Islamo fobia di Barat yang memandang serong terhadap Islam. Tetapi orang Islam sendiri yang menyumbang terhadap pandangan serong itu.

Tidaklah diketahui siapa punya angkara yang membakar gereja pada awal pagi Jumaat lalu. Tetapi kejadian itu sudah cukup menjadi berita Reuters yang dipancarkan ke seluruh dunia melalui SMS Alert mereka ke telefon bimbit di seluruh dunia. Pelanggan SMS Alert Reuters akan menerima laporan bahawa gereja diserang di Malaysia. Tidakkah kejadian ini mencemarkan nama negara, dan umat Islam sendiri. Tanpa diketahui siapa punya angkara tetapi dengan sendirinya ia menyumbang kepada imej seolah-olah umat Islam tidak toleran dan ganas di Malaysia. Sedangkan Malaysia dikenali sebagai negara tolaran dalam amalan berbilang kaum dan agama.

Simpati dunia Barat tentunya kepada bukan Islam di negara ini. Bukan saja dunia Barat mempunyai tradisi Kristian yang tentu lebih simpati kepada saudara seagama mereka, tetapi umumnya mereka lebih simpati kepada golongan minoriti yang dianggap terpinggir.

Terhadap agama lain pula, mungkin Barat yang bertradisikan Kristian lebih toleran kepada agama-agama bukan Islam seperti Yahudi, Buddha dan Hindu. Para pengkaji menyebut mengenai sindrom Perang Salib yang menyebabkan perseteruan antara Islam dan Kristian lebih tajam. Ia membawa kepada fenomena penjajahan yang meletakkan Islam ditekan oleh Barat dan kesannya tidak berkesudahan hingga ke hari ini.

Tetapi sejarah, sama ada Perang Salib mahupun penjajahan tidak wajar mendatangkan kesan yang berpanjangan hingga menyebabkan generasi akan datang terus hidup porak peranda kerana kejadian-kejadian masa lalu yang bukan hasil daripada perbuatan atau pertimbangan mereka pun.

Justeru apabila sesebuah negara diwujudkan, khususnya melalui proses kemerdekaan daripada penjajahan, perhatian diberikan secara teliti supaya semua rakyatnya tanpa mengira anutan agama dapat hidup secara harmoni. Ini kerana perbalahan kerana agama hanya akan menghancurkan negara. Tidak ada gunakanya saling berseteru dengan berbalas-balasan dendam yang tidak ada penghujungnya.

Apabila sesebuah negara baru diisytiharkan, ia wajar menjadi titik mula sesebuah muafakat antara rakyat yang sudah ditakdirkan hidup bersama dalam tanahair yang dikongsi.

Inilah apa yang berlaku pada 31 Ogos 1957 terhadap Persekutuan Tanah Melayu yang di peringkat antarabangsa dikenali sebagai Federation of Malaya. Negara ini beruntung kerana perlembagaan yang digubal untuknya mengambil kira secara teliti hubungan antara agama supaya keharmonian dapat diwujudkan bagi kelangsungan hidup rakyatnya.

Agama rasmi negara ialah Islam dan semua rakyatnya bebas mengamalkan anutan agama masing-masing. Itu asas penting dalam perlembagaan negara. Kepentingan ini dapat difahami apabila diambil kira apakah yang paling penting dalam kewujudan seseorang manusia kalau tidak agamanya. Lebih-lebih lagi bagi orang Melayu.

Justeru soal agama adalah paling penting disebut dalam perlembagaan. Ia mendasari kepada tujuan bernegara itu sendiri. Perdamaian dan keselamatan adalah paling asas kepada rakyat untuk hidup dan berzuriat. Maka dalam kehidupan beragama, ia harus bersifat harmoni. Semua rakyat bebas mengamalkan agama masing-masing. Kedudukan rasmi Islam sebagai agama rasmi adalah berasaskan kepada sejarah di mana Persekutuan Tanah Melayu yang kemudian menjadi Persekutuan Malaysia terdiri daripada negeri Melayu yang agama rasminya adalah Islam.

Maka inilah asasnya tetapi keluhuran perlembagaan hanya dapat diwujudkan jika semua rakyat mempertahankan dan melaksanakannya.

Walau indah manapun perlembagaan jika rakyat umumnya tidak menghormati, maka ia hanya secebis kertas yang tidak bermakna. Akibatnya negara akan porak peranda dengan bergantung pada siapa yang kuat dia yang berkuasa.

Sistem di mana siapa yang kuat akan berkuasa hanya akan mendatangkan mudarat kepada manusia. Pengalaman ini sudah dilalui oleh manusia berzaman-zaman dahulu. Perang yang tidak berkesudahan secara bersilih ganti.

Perang Dunia Kedua adalah paling dahsyat.

Kalau dilihat kembali memang dirasakan bahawa orang dahulu yang hanya hidup atas kekuatan adalah suatu yang pelik, dari sudut kaca mata hari ini. Ia seolah-olah tidak bijak dan tidak waras.

Disedari

Hanya setelah manusia hampir musuh dengan bom atom, barulah disedari bahawa perang tidak membawa sebarang keuntungan. Akhirnya diisytiharkan Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu dan diwujudkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya manusia tidak berperang dan berbunuhan sesama sendiri. Juga diisytiharkan mengenai Hak Asasi Manusia supaya menjadi pegangan manusia sejagat bagi mengelak sebilangan daripadanya dijajah dan ditindas oleh pihak yang kuat.

Atas runtuhan dunia lepas perang inilah Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dan mencapai kemerdekaan. Dari awal lagi disedari bahawa musuh utama negara adalah perkauman dan pertelingkahan antara agama. Banyak undang-undang digubal bagi mengelak sebarang pergaduhan antara kaum dan agama.

Tambahan pula, di Malaysia, kaum dikaitkan dengan agama. Maka semua pihak mesti berasa sensitif terhadap apa jua kejadian yang boleh membawa padah pertelingkahan agama. Tidak ada tolak ansur dari segi ini. Tolak ansur antara agama hanya dapat berlaku jika masyarakat bersikap tidak tolak ansur kepada sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan keharmonian beragama.

Sudah kelihatan banyak contoh dalam sepuluh dan dua puluh tahun kebelakangan ini apabila pergaduhan antara agama hanya membawa kesusahan dan penderitaan.

Apa yang berlaku di Indonesia, India dan Bosnia-Herzegovina sudah cukup menjadi iktibar ngeri supaya soal agama jangan sekali-kali dibiarkan berlarutan hingga akhirnya merosakkan negara dan menderitakan rakyat.

Dalam hal ini, perhatian lebih wajar diberikan kepada umat Islam sendiri, bukan saja di seluruh dunia tetapi di Malaysia. Sebagai penganut agama yang sebenar dan jelas, maka tanggungjawab orang Islam adalah lebih besar bagi memelihara kerukunan hidup beragama bukan saja di malaysia tetapi di seluruh dunia.

Pada zaman ini, dengan globalisasi dan teknologi maklumat serta komunikasi, apa yang berlaku di negara ini tidak akan terpencil daripada perkembangan dunia. Semua orang Islam tidak kira di mana pun mereka berada mempunyai tanggungjawab memelihara nama baik Islam sebagai agama keamanan dan toleran.

Lebih-lebih lagi di negara di mana umat Islam adalah majoriti serta dominan dan memiliki kuasa. Maka dalam keadaan itu, umat Islam mempunyai lebih tanggungjawab memelihara keharmonian melalui perlindungan hak terhadap golongan minoriti bukan Islam.

Yang majoriti mesti melindungi minoriti. Yang kuat melindungi yang lemah. Dan yang kaya melindungi yang miskin.

Ini kerana yang majoriti tidak wajar berasa terancam oleh minoriti. Lebih-lebih lagi umat Islam. Keyakinan terhadap kekuatan diri dalam akidah, lebih-lebih lagi sebagai majoriti tidak wajar terjejas dengan sebarang perasaan terancam. Kalau golongan majoriti terancam, apatah lagi pihak minoriti.

Kelemahan umat Islam di negara ini adalah dalam bidang ekonomi. Dalam hal ini, umat Islam adalah minoriti. Golongan majoriti dalam bidang ekonomi adalah mereka yang beragama Buddha-Taoisme- Konfusianisme. Maka mereka pula yang wajar melindungi minoriti dari segi ekonomi.

Maka dalam hal ini perhatian umat Islam wajar meningkatkan kekuatan ekonomi. Ini kerana dengan kedudukan ekonomi yang baik akan mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni dan perbalahan kaum dapat dielakkan.

Tetapi kemajuan ekonomi umat Islam di negara ini hanya dapat dicapai melalui suasana harmoni dalam negara. Sementara kunci kepada keharmonian adalah hubungan antara penganut agama yang baik.

Allah SWT menurunkan wahyu kepada Rasulullah SAW sebagai panduan kepada manusia untuk hidup secara aman.

Yang Benar
Arman Azha Hj Abu HAnifah
Ketua Wira Perkasa
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia

Wednesday, January 27, 2010

Provokasi Yg Akan Menghancurkan Muhibbah



















Saya selaku Ketua Wira Perkasa Nasional ,Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak kerajaan melaksanakan undang-undang pencegahan terutamanya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat bagi membendung lebih banyak serangan ke atas rumah ibadat.

Saya selaku Ketua Wira Perkasa Nasional mahu cara dalam menangani permasalahan berhubung isu sensitif membabitkan agama, undang-undang pencegahan adalah langkah terbaik bagi mengelak berlakunya sebarang tragedi berdarah dimana akhirnya hanya akan membuat negara kita dalam keadaan huru-hara sahaja dan akan hilanglah semangat muhibbah antara satu sama lain.

ISA dan Ordinan Darurat adalah pendekatan terbaik memandangkan keadaan kini semakin panas rentetan serangan terhadap rumah ibadat termasuk yang terbaru membabitkan masjid.

Kedua-dua akta ini perlu dikuatkuasakan dengan segera bagi menjamin keselamatan rakyat kerana melaluinya sebarang provokasi dapat dipatahkan lebih awal sebelum ia menjadi parah

Oleh itu ketika kejadian Masjid Imam At-Tirmizi di Sri Sentosa dan Masjid Jumhuriah di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya yang dilempar empat kepala babi hutan, awal pagi ini.

Perbuatan khianat itu disedari oleh kariah kedua-dua masjid semasa mereka hendak menunaikan solat Subuh.

Saya risau dan bimbang mengenai keselamatan orang ramai jika kerajaan keberatan untuk mengguna pakai undang-undang pencegahan.

Saya merasakan perbuatan mencampakkan kepala babi ke dalam pekarangan masjid adalah sesuatu penghinaan terhadap Islam.

Saya ingin menegaskan, jika tidak dibendung secara tegas dengan segera, lebih banyak serangan terhadap rumah ibadat bakal berlaku selepas ini yang akhirnya mungkin akan membawa kepada tragedi berdarah seperti Tragedi 13 Mei.

Sementara itu, Saya tidak menolak kemungkinan wujud pihak ketiga yang memainkan peranan di sebalik serangan ke atas kedua-dua masjid tersebut.

Asskum rakan2 yg saya hormati..

Sedih hati saya melihat apa yg terjadi dinegara kita sendiri, sudahkah masyarakat kita lupa tentang hidup dengan muhibbah dan penuh hormat-menghormati diantara satu sama lain.

Kenapa perkara ini berlaku, saya rasa kita semua tau sebabnya..Kerana parti2 politik dinegara kita tidak habis-habis berpolitik untuk kuasa dan nama sehingga lupa kepada kenapa mereka dipilih.

Bukankah mereka dipilih untuk membantu rakyat dan sebagainya, bukankah rakyat telah memeberikan mereka satu amanah dan tanggungjawab untuk memimpin rakyat dan membantu rakyat sebagainya. Tetapi kita lihat apa yang terjadi kini adalah perkara yang sebaliknya pula dimana rakyat berada diluar dan hanya melihat gelagat2 pemimpin baik BN dan PR hanya bermain politik dimana menjuruskan kearah perpecahan dan sebaliknya sehingga mereka terlupa akan asal perjuangan diri mereka.

Akibat daripada itu kita lihat kini satu perkara yang amat menyedihkan hati saya bile perkara2 yang semua rakyat Malaysia boleh duk bertolenransi sesama sendiri akhirnya menjurus kearah perpecahan akibat mainan politik yang tidak bertanggungjawab, ini yang berlaku kini, kerana apa...kerana kepentingan politik diletakkan dihadapan daripada kepentingan rakyat, ini yang berlaku kini..

Kini disebabkan perpecahan dicipta oleh golongan2 yang rakus mahukan kuasa pelbagai2 isu timbul kini. Kini kita lihat sikap tolenransi sesama kita telah bertukar menjadi api perpecahan sesama kita yang akhirnya hanya akan merugikan semua pihak.

Sebagai seorang Muslim berbangsa Melayu yang cintakan keamanan dan harmoni dinegara Malaysia, terguris hati saya bile melihat perkara2 yang tidak menyenangkan hati saya dimana api kebencian ditiup oleh golongan-golangan yang tidak bertanggungjawab dimainkan.

Isu pertama yang saya rasakan tidak seharusnya dipolitikkan adalah isu "Kalimah Allah" kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya perlu tahu dimana " Kalimah Allah" ini amat dekat dihati orang-orang Muslim dinegara kita, sifat tolenransi terhadap perkara ini amat penting untuk menjaga keharmonian dan keamanan dinegara kita yang berbilang bangsa. Oleh itu saya menyeru kepada rakan2 diluar sana tanpa mengira kaum dan agama hentikan perkara ini atas dasar hormat dan menghormati sensitiviti orang-orang Muslim..

Isu kedua yg dimainkan adalah pembakaran rumah-rumah ibadat yang berlaku, kerana apa perkara ini berlaku, lain dan tidak lain adalah ciptaan mainan golongan yg tidak bertanggungjawap yang mahukan satu rasa keresahan didalam negara kita..Saya doakan perkara ini selesai oleh semua pihak dimana saya tahu jika kita benar2 mahukan negara kita aman dan harmoni, insyalaah ianya akan jadi kenyataan jugak..

Isu ketiga dimana golongan yang tidak bertanggung jawab mahu hapuskan institusi diraja dinegara kita, perkara ini harus kita nilai dan kaji , siapa dalang dibelakang pengkhianat2 ini yang mahu mencipta keresahan dan kemarahan orang-orang melayu dinegara kita..Kita harus bijak menilai isu-isu ini dengan penuh kematangan bukan dengan hati yang panas..

Isu terbaru dimana 4kepala babi dicampakkan kedalam kawasan masjid, kenapa ini berlaku, atas dasar apa, kerana apa, sukakah kita...ini soalan yang harus kita tanya kepada diri kita..Adakah kita mahukan perpecahan atau adakah kita sayangkan Penyatuan dan Perpaduan..

Jadi rakan2 yang saya sayangi dan hormati,,Marilah kita sama2 gerakan Transformasi Penyatuan Rakyat Negara Kita...Hentikan kebencian dan sayangilah Negara Kita untuk terus hidup dlm suasana Muhibbah..sekian, wasalam..

Facebook | Armand Yb Pju: 7 Wasiat DiRaja Oleh Raja Nazrin Shah

Facebook | Armand Yb Pju: 7 Wasiat DiRaja Oleh Raja Nazrin Shah

Facebook | Armand Yb Pju: Saya Selaku Ketua Wira Perkasa Malaysia Mengecam Serangan Keatas Dua Surau Di Muar.

Facebook Armand Yb Pju: Saya Selaku Ketua Wira Perkasa Malaysia Mengecam Serangan Keatas Dua Surau Di Muar.