Wednesday, February 11, 2009

Daulat Tuanku


ABDUL Shukor Idrus (dua dari kiri) bersama ahli-ahli Pemuda UMNO Selangor berarak ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk membuat laporan polis terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh semalam.


SHAH ALAM 11 Feb. - Hampir 2,000 ahli Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Selangor hari ini berarak secara aman bagi mengutuk tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mencabar kedaulatan raja Melayu.

Perarakan yang diketuai Ketua Pemuda, Abdul Shukor Idrus pada pukul 4 petang itu adalah sebahagian daripada siri penentangan orang Melayu di seluruh negara terhadap sikap biadap dan kurang ajar Karpal.

Perarakan bermula dari Bangunan UMNO Selangor sejauh 1.5 kilometer dan berakhir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Selepas itu, Abdul Shukor membuat laporan polis terhadap tindakan Karpal itu.

Beliau yang ditemui pemberita selepas itu menegaskan, tindakan Karpal adalah tidak wajar dan tidak boleh dimaafkan kerana mengguris, menghina dan membangkitkan rasa marah orang Melayu.

"Hasrat Karpal untuk menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah merupakan satu bentuk penyalahgunaan proses mahkamah selain berniat jahat untuk mengheret institusi raja ke kancah skandal umum.

"Selain itu, Karpal juga melanggar prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara berhubung kesetiaan kepada raja dan negara yang harus dipatuhi oleh warganegara tidak mengira kaum," jelasnya.

Turut menyertai perarakan tersebut Ketua Wanita UMNO Selangor, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin serta beberapa pemimpin UMNO negeri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin ketika ditemui mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat terhadap Karpal

No comments: