Monday, November 29, 2010

Jangan cepat hukum guru hina pelajar


Kenyataan rasis: Jangan cepat hukum guru hina pelajar, kata Perkasa

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Ketua Pemuda Perkasa Arman Azha Abu Hanafiah meminta semua pemimpin supaya tidak terlalu cepat menjatuhkan hukum terhadap seorang guru yang didakwa mengeluarkan kenyataan rasis melibatkan pelajar-pelajar India dan Cina ketika mengawasi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Lukut, Negeri Sembilan minggu lalu.

Sebaliknya, Arman Azha mahu supaya dakwaan tersebut disiasat terlebih dahulu sebelum membuat sebaran kesimpulan.

“Kita tidak sepatutnya menjatuhkan hukuman dengan cepat, apabila perkara ini berlaku kita perlu kembali kepada pihak yang didakwa.

“Kita tidak boleh menjatuhkan hukum dengan hanya berdasarkan satu pihak sahaja, kita perlu dapatkan maklumat daripada kedua-dua belah pihak.

“Selain itu, dakwaan ini perlu disiasat dengan teliti supaya adil kepada kedua-dua pihak,” katanya pada sidang media di sini.

Parlimen hari ini menerima satu usul tergempar berkaitan melibatkan seorang guru – didakwa mengeluarkan kenyataan rasis melibatkan pelajar-pelajar India dan Cina ketika mengawasi peperiksaan SPM di sebuah sekolah di Lukut.

Usul dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa (DAP) di pejabat Speaker pagi tadi.

Dalam notisnya, Er menegaskan isu itu perlu dibahaskan di Dewan Rakyat memandangkan ia melibatkan perkara khusus, perlu disegerakan dan membabitkan kepentingan awam.

“Tindakan drastik dan efektif perlu diambil untuk mengelakkan insiden-insiden seumpama itu daripada berulang,” kata beliau.

Dalam insiden 24 November lalu, guru terbabit dari sebuah sekolah menengah di Port Dickson, didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pelajar-pelajar Cina dan India apabila mereka tiba lewat di dewan peperiksaan bagi menduduki peperiksaan SPM.

Menurut laporan media Cina, guru berkenaan didakwa meminta pelajar-pelajar terbabit pulang ke China dan India jika mereka tidak boleh memahami arahan dalam Bahasa Malaysia.

“Sejak kebelakangan ini, kenyataan-kenyataan berbaur perkauman seperti ini yang menyinggung perasaan kita, sedangkan apa yang kita harapkan ialah perpaduan dan harmoni.

“Kenyataan-kenyataan seperti ini pernah dibuat oleh banyak pihak seperti pegawai khas kepada Perdana Menteri pada Februari lalu, seorang guru dari SMK Gajah Berang Julai lalu dan dua pengetua dari SMK Tunku Abdul Rahman Putra dan SMK Bukit Selambau pada Ogos lalu dan satu lagi insiden sekarang,” kata Er dalam notisnya.

Kata beliau, insiden-insiden itu dengan jelas tidak boleh dianggap sebagai kes-kes terpinggir memandangkan kesemuanya ada kesamaan dan merujuk kepada masyarakat Cina dan India.

No comments: