Monday, October 24, 2011

PR ABIS ISU RESTORAN 1MSIA PUN DEPA BALUN



PAKEJ harga sarapan pagi dan makan tengah hari yang terkandung dalam Menu Rakyat 1Malaysia mudah sahaja.

Dengan harga RM4 untuk makan tengah hari, anda akan mendapat nasi berlaukkan seketul ayam serta sayur dan air kordial. Tetapi kalau anda ingin merasai lauk lain seperti udang, sotong atau ketam, anda kenalah membayar lebih.

"Tian Chua (Ahli Parlimen Batu) mungkin makan (lauk) lebih, sengaja hendak mengena (program ini). Sebab itu saya tegaskan di sini bahawa asas makanannya seperti yang saya sebutkan tadi.

"Setakat ini sambutan daripada para pengusaha restoran dalam menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia ini begitu amat menggalakkan, yang tarik diri cuma sekelumit sahaja," kata Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd. Nasir Noryakin kepada Utusan Malaysia di Putrajaya semalam.



Mohd. Nasir sekadar tertawa kecil menerusi corong telefon ketika ditanya penulis tentang kritikan yang dilemparkan oleh Tian Chua yang mendakwa hidangan yang dimakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengunjungi Restoran Ukhwah di Kuala Lumpur baru-baru ini lebih mahal berbanding yang dilaporkan media.

Ini kata Naib Presiden PKR itu selepas tinjauannya di restoran yang menyediakan menu berkenaan di Taman Kok Doh, Segambut dekat ibu negara.



Dakwa Tian Chua, harga sebenar makanan tengah hari tersebut hampir sekali ganda iaitu RM6 berbanding RM4 dalam pakej menu Rakyat 1Malaysia. Menu sarapan yang berharga RM2 pula dakwanya, hanya dikurangkan kandungannya berbanding apa yang dipromosikan.

Atas motif 'hendak mengena', hasrat Perdana Menteri mengambil beberapa jenis makanan semasa di Restoran Rakyat 1Malaysia (Restoran Ukhwah) itu pun sanggup dijaja Tian Chua sebagai isu. Padahal Najib mahu menguji kualiti menu untuk memastikan lauk yang disediakan kepada rakyat setimpal dengan harga yang dibayar.

Hakikat sebenarnya sejak program Menu Rakyat 1Malaysia dilancarkan pada 7 Julai sehingga semalam, kira-kira 1,004 pengusaha premis makanan telah menyertainya. Sambutan memang cukup hangat. Jika enam premis menarik diri daripada program kerana tidak tahan tekanan (gagal memenuhi harga yang disyaratkan), 10 yang lain pula mohon menyertai program. Dan jika 611 buah premis makanan sahaja tersenarai pada 7 Julai lalu, kini angka premis yang memasuki program bertambah dari minggu ke minggu.

"Menerusi pemerhatian pejabat kementerian peringkat negeri, hampir semua negeri melaporkan peserta program memberikan reaksi yang positif terhadap usaha untuk mengurangkan beban rakyat.
"Pelanggan yang datang semakin bertambah dan telah meningkatkan lagi pendapatan perniagaan mereka.
"Rata-rata pelanggan mahu program Menu Rakyat 1Malaysia ini diteruskan kerana ia banyak membantu dalam mengurangkan kos perbelanjaan harian terutamanya golongan berpendapatan rendah," kata Mohd. Nasir lagi.
Menu Rakyat 1Malaysia merupakan satu program kerajaan untuk meringankan beban rakyat yang sebahagian besarnya terpaksa menjamu selera di restoran berikutan kekangan masa atau tuntutan kerjaya.

Melalui pakej Menu Rakyat 1Malaysia, orang ramai hanya perlu membayar maksimum RM2 untuk bersarapan dan RM4 untuk makanan tengah hari.

Bagi Sabah dan Sarawak, harga maksimum dikenakan RM2.50 dan RM5 masing-masing untuk bersarapan dan makan tengah hari.

Mohd. Nasir berkata, KPDNKK menyasarkan kira-kira 1,000 buah premis perniagaan menyediakan Menu Rakyat 1Malaysia menjelang akhir tahun ini dan 3,000 buah premis pada 2012.



"Kita lihat rakyat negara ini jarang balik ke rumah untuk makan tengah hari dan pada waktu bekerja. Malah, hendak makan pagi juga tidak sempat. Oleh itu, dengan hanya RM6 sehari (RM2 + RM4), mereka boleh menikmati sarapan dan makan tengah hari di restoran-restoran yang mengambil bahagian dalam program ini.
"Ini adalah salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat terutama dalam suasana kenaikan harga barangan global ketika ini.

Menurutnya, setakat ini pihak kementerian telah mengadakan perbincangan dengan beberapa universiti bagi membolehkan pelajar menikmati menu sarapan dan makan tengah hari pada harga berpatutan.

"Buat masa ini, kita sedang berunding dengan pihak Universiti Malaya dan mereka positif tentang program ini manakala di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah pun membuka outlet program Menu Rakyat 1Malaysia ini.

"Dalam memperluaskan lagi jaringan, kementerian turut berbincang perkara ini dengan restoran dan kafetaria di sekitar Putrajaya," kata beliau.

Yang pasti, kerajaan memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memperluaskan lagi inisiatif berfokuskan rakyat yang antaranya melibatkan program Menu Rakyat 1Malaysia.

Malah, Perdana Menteri menyentuh perkara ini dalam pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu dengan menegaskan, peningkatan kos hidup tidak hanya dialami oleh rakyat negara ini memandangkan ia merupakan fenomena global yang disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah dunia terutama pada 2007 dan 2008.

Keadaan itu, kata Najib, diburukkan lagi dengan perubahan iklim dunia yang tidak menentu menyebabkan berlakunya banjir dan kemarau termasuk di negara-negara pengeluar makanan utama dunia.

Program Menu Rakyat 1Malaysia tidak banyak beza dengan Restoran Rakyat yang diperkenalkan pentadbiran bapa Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak ketika kemelesetan ekonomi sekitar 1970-an.

Buat Tian Chua, sudah-sudahlah. Carilah isu lain yang lebih bermanfaatkan untuk rakyat. UTUSAN
Post a Comment