Wednesday, July 11, 2012
Tiba masa BN ketengahkan calon muda : www.antarapos.com
Tiba masa BN ketengahkan calon muda
pada 08-07-2012 12:07 Ditulis Oleh Aidil Syukri Hamzah
[EKSKLUSIF Bhgn. 2] Umno-Barisan Nasional (BN) tidak pernah ketandusan calon generasi muda profesional yang boleh diketengahkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Golongan ini dilihat mampu memenuhi citarasa pengundi yang majoritinya dalam lingkungan 21 hingga 39 tahun untuk membantu kerajaan mengekalkan mandat seraya membentuk negara yang lebih berdaya saing berteraskan transformasi yang dilakukan oleh BN.
Temubual khas AntaraPos bahagian ke-2 bersama Ketua Penerangan Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Armand Azha Abu Hanifah menyingkap pandangan generasi muda yang tanpa kenal lelah membantu jentera BN dan komponen meraih sokongan rakyat Malaysia terhadap parti itu.
Armand berpendapat BN mempunyai ramai calon wakil rakyat dari kelompok muda untuk diberi peluang membuktikan bahawa golongan itu mampu memberi kesan terhadap pengundi memandangkan 4.5 juta daripada 12 juta individu layak mengundi terdiri daripada generasi muda.
Malah menurut perangkaan Suruhanjaya Pilihana Raya (SPR) hampir 50 peratus pengundi baru berdaftar terdiri daripada pengundi muda yang telah sedar akan kepentingan untuk memilih kerajaan yang mampu mengalas tugas menerajui negara.
Namun yang menjadi persoalan samada pengundi muda akan menjadi penentu kemenangan mana-mana parti politik pada PRU13 nanti memandangkan julat nisbah pengundi 'atas pagar' lebih tinggi untuk kelompok ini.
Untuk menyokong kenyataan itu, kajian yang dilakukan oleh pemerhati politik Prof Datuk Dr Zainal Kling menyifatkan media baru dan faktor "anak tempatan" turut memainkan peranan penting.
Justeru Armand yakin suara hati golongan muda telah berjaya menambat hati Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak sekaligus akan menyenaraikan lebih ramai calon wakil rakyat muda.
"Dan saya yakin di bawah pimpinan Najib, dalam PRU-13 nanti beliau akan meletakkan calon-calon yang berintegriti dan calon muda,” kata beliau.
Ini sekaligus menyangkal pandangan sesetengah pihak yang skeptikal terhadap kebolehan BN untuk mencalonkan golongan muda profesional agar rakyat dipimpin oleh golongan ini yang lebih proaktif.
Kata Armand, jika dibandingkan dengan Pakatan Rakyat yang mengekalkan tiga pemimpin utama (Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang) gabungan itu sejak penubuhannya, BN sebaliknya melangkau perubahan pemimpin-pemimpin yang terbukti berjaya menerajui negara.
“Berbanding dengan pakatan yang melaungkan mereka memiliki ahli Parlimen muda, Ahli Dewan Undangan Negeri muda, tetapi di peringkat atasan mereka tidak buat pembaharuan. Masih mempunyai golongan ‘dinosaur’ dalam politik.
“Tiada generasi pelapiskah dalam Pakatan Rakyat sedangkan kita lihat dalam Umno sendiri telah bertukar dari Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib, ini menunjukkan transformasi politik dalam BN," tambahnya lagi.
Ketika diminta mengulas apakah kemungkinan beliau akan dicalonkan, Armand menegaskan tujuannya berkecimpung dalam arena politik bukan untuk mengejar jawatan dan menegaskan tidak pernah sesekali terfikir untuk menjadi calon.
Katanya lagi, beliau lebih selesa untuk berjuang di peringkat akar umbi daripada memikirkan soal menjadi calon.
“Saya bergerak dalam politik bukan nak jadi calon. Bagi saya biarlah mereka yang rasa mereka layak jadi calon yang dicalonkan. Saya lebih suka berjuang di peringkat akar umbi.
“Saya tak terfikir (menjadi calon). Biarlah keputusan ini serah pada kepimpinan tertinggi. Pada saya kita buat kerja untuk parti, kerana kita sayang BN bukan kerana nak jadi calon,” tegas beliau.
Perdana Menteri bakal mengumumkan tarikh pilihan raya pada bila-bila masa di mana menyaksikan mandat kerajaan BN akan berakhir dalam tempoh sembilan bulan dari sekarang iaitu pada April 2012.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment