Friday, August 3, 2012

Go Lee Chong Wei, Harapan Negara



LONDON, 4 Ogos — Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei hanya selangkah lagi untuk mencipta sejarah Malaysia dalam Sukan Olimpik apabila berada di laluan emas pada Ahad ini.

Harapan Malaysia untuk melihat pingat emas pertama Sukan Olimpik menjelma sekali lagi apabila Chong Wei melangkah ke final dalam acara perseorangan.

Pemain nombor dua dunia itu berjaya menundukkan Chen Long dari China 21-13, 21-14 dalam saingan separuh akhir di Arena Wembley semalam, sekali gus menanti musuh tradisi Lin Dan dari China di pertemuan merebut emas.

Pertemuan dengan Lin Dan merupakan ulangan di Sukan Olimpik 2008 di Bejing yang mana pemain China itu menumpaskan Chong Wei 21-12, 21-8 untuk merangkul pingat emas.

Meskipun sudah menggenggam pingat perak namum sudah tiba masa untuk Chong Wei untuk menggamit emas berikutan Sukan Olimpik 2012 merupakan penampilan terakhir pemain negara itu.

Pada pertemuan dengan Chen Long, Chong Wei begitu tenang dan dapat membaca gerakan Chen Long sehingga mampu mendahului 7-0 dan kemudian 19-13 sebelum memungut mata pertama dalam masa 23 minit.

Pada set kedua, Chong Wei ketinggalan 3-6 tetapi bangkit semula dengan pukulan pantas dan mengelirukan untuk mencapai kemenangan 21-14 dalam masa 28 minit.

Selepas perlawanan itu, Chong Wei berkata beliau menjangkakan saingan sengit daripada Chen Long yang menduduki ranking ketiga dunia tetapi ia meleset sama sekali.

"Set pertama memang penting sekali kerana tahu saya mesti menang bagi meningkatkan keyakinan. Namum tidak sangka dapat kemenangan mudah.

"Secara peribadi, saya telah mencapai sasaran di sini dengan mara ke final," katanya.

Mengenai musuh ketatnya Lin Dan, Chong Wei berkata beliau perlu bersedia dari segi kekuatan mental.

Mengimbas pertemuan pada final Sukan Olimpik 2008, Chong Wei berkata keadaannya kini berbeza ketika lawannya beraksi di gelanggang sendiri dan kini Arena Wembley adalah gelanggang berkecuali.

Bagaimanapun, Chong Wei mengakui beliau kini mula rasa tertekan sama seperti sebelum menemui Lin Dan pada perlawanan akhir di Beijing pada 2008.

Mengikut statistik, Lin Dan mempunyai kelebihan ke atas Chong Wei dengan memenangi 20 daripada 29 pertemuan antara mereka.

Pada pertemuan terakhir semasa Kejohanan All England, Mac lepas, Lin Dan mendahului 21-19 pada set pertama dan 6-2 pada set kedua apabila Chong Weimenarik diri akibat kecederaan buku lali.

Chong Wei kali terakhir menumpaskan Lin Dan adalah pada Terbuka Korea pada Januari lepas dengan 12-21, 21-18, 21-14. — Bernama

No comments: