Monday, November 17, 2008

The Great Mind OF Mahathir

The Great Mind Of Mahathir

Setelah 10 tahun, negara-negara Barat terutama Amerika Syarikat terpaksa menjilat ludah mereka sendiri. Namun mereka masih segan untuk mengakui ubat mujarab yang digunakan oleh seorang doktor dari Malaysia, Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad yang berjaya memulihkan kesakitan yang dialami oleh Malaysia hasil dari krisis matawang yang melanda negara-negara Asia Tenggara 1997-1998.

Semasa Malaysia dan jiran menghadapi krisis ekonomi yang amat teruk, mereka beramai-ramai mengutuk kepimpinan negara-negara ini sebagai mengamalkan dasar ekonomi yang sonsang dan lapuk. Mengikut mereka krisis ekonomi yang berlaku adalah atas kesalahan pemimpin ini yang mengamalkan korupsi dan nepostisma yang menyebabkan negara-negara ini patut “dideritakan” dengan menjatuhkan nilai matawang mereka.

Tidak menjadi faktor kepada mereka bahawa ekonomi negara-negara ini telah berkembang dengan amat pesat selama hampir 10 tahun sebelum itu berlandaskan dasar-dasar ekonomi yang betul dan perancangan yang baik. Tidak juga menjadi faktor kepada mereka bahawa yang merudumkan matawang serta merobekkan pasaran saham Malaysia dan negara jiran adalah pengurus yang bekerja di bank dagang yang berada beribu-ribu batu dari negara ini yang tidak pun faham atau mahu faham tentang stuktur ekonomi dan sosial negara-negara ini. Yang amat menyedihkan ketika itu juga ramai dari rakyat negara-negara ini termasuk ketua pembangkang sekarang ini yang mengutuk dan mencemuh usaha Dr. Mahathir yang cuba memulihkan ekonomi negara.

Negara ini amat bertuah sebenarnya kerana mempunyai pemimpin seperti Dr. Mahathir yang amat komited cuba memulihkan ekonomi negara ini tanpa memburukan keadaan sosial negara. Pengajaran atas apa yang berlaku pada 1969 dan apa yang berlaku kepada negara jiran semasa krisis itu munkin menjadi asas beliau untuk tidak membebankan rakyat walaupun semasa negara didalam krisis yang amat teruk. Bukan sahaja beliau bertindak tegas, tetapi segala tindakan yang dilakukan adalah setelah mengambil kira semua data dan rujukan yang sebenar. Setelah beliau dan NEAC (National Economic Action Council) yang ditubuhkan untuk menangani krisis ini benar-benar paham akar umbi masaalah yang dihadapi barulah NERP (National Economic Recovery Plan) dilakukan.

Tambatan Ringgit untuk menstabilkan nilai Ringgit adalah salah satu dari dasar yang dilakukan. Selain dari itu negara melakukan tindakan-tindakan berikut:
Untuk menstabilkan pasaran saham, CLOB atau urusan saham di Singapura dihentikan.
Untuk menstabilkan sistem perbankan negara dua badan ditubuhkan iaitu Danamodal dan Danaharta.
Sebagai pemankin dan menggerakkan pertumbuhan ekonomi, kadar faedah dikurangkan dan berbagai aktiviti ekonomi digerakkan.

Perkara utama yang dilakukan oleh kepimpinan Dr. Mahathir adalah mengembalikan kestabilan kepada matawang, sistem perbankan, kadar faedah dan kadar inflasi. Ini memberi keyakinan mendalam kepada rakyat Malaysia dan pelabur-pelabur. Sebagai pemimpin yang baik, beliau tegas untuk melakukan apa yang perlu walaupun dikritik dan dicemuh oleh ramai pakar-pakar ekonomi termasuk dari IMF dan Bank Dunia. Pecacai-pecacai yang terdiri dari anak emas dunia barat juga ingin mengambil kesempatan dari krisis ini untuk agenda politik mereka dengan melakukan rusuhan untuk menggoncang kestabilan negara. Namun ketegasan Perdana Menteri ketika itu berjaya menstabilkan negara dan hasilnya terbukti setelah hampir 10 tahun kita melepasi krisis ini.

Penulis sempat menghadiri sebuah seminar semasa bekerja dibank dagang ditahun 2000. Seorang professor ekonomi dari negara barat yang terlibat dengan perbankan islam amat berbangga dengan usaha Malaysia mengatasi krisis ekonomi dibawah kepimpinan Dr. Mahathir. Beliau menyarankan agar rakyat Malaysia mengkaji dan mengkaji apa yang telah dilakukan oleh negara ketika itu kerana ia akan menjadi sejarah negara yang patut dibanggakan. Nyata beliau benar. Lapuran LAT-WP dan AFP minggu ini menunjukkan betapa dunia barat walaupun segan dan malu, terpaksa mengakui bahawa dasar-dasar yang dibuat oleh Malaysia sebenarnya adalah tepat dan berfaedah kepada negara. Bukankah apa yang dilakukan negara barat ketika ini “bailing out” bank-bank negara mereka adalah dasar yang mereka kutuk dahulu.

Perkara pertama mereka lakukan adalah menghentikan “short selling” untuk menghentikan spekulasi yang akan mencetuskan lebih panik kepada pasaran. Bukankah itu yang Malaysia lakukan tapi mendapat kejian dari mereka. Sekarang ini baru mereka faham bahawa liberalisasi tanpa kawalan sebenarnya boleh membunuh ekonomi dan mengkucar-kacirkan sosial sesebuah negara. Bukankah ini yang Dr. Mahathir cuba jelaskan dahulu.

Kaplan & Rodrick, dua professor universiti utama Amerika telah membuat kajian tentang tindakan Malaysia berbanding negara-negara dibawah kawalan IMF, merumuskan bahawa kawalan dana kewangan Malaysia telah lebih berjaya. Perlu juga diingat bahawa tindakan berani Dr. Mahathir telah membuatkan IMF menukar dasar-dasarnya menjadi lebih lembut dan membantu pemulihan ekonomi dibawah kawalannya iaitu Indonesia, Thailand dan Korea. Dua orang pakar ekonomi dunia yang telah menerima Nobel Prize dalam bidang ekonomi iaitu Joseph Stiglizt dan Paul Krugman, walaupun tidak seratus peratus menyokong usaha negara ketika itu namun mempercayai bahawa Malaysia telah melakukan tindakan yang tepat.

Bukankah sudah tiba masanya Dr. Mahathir sendiri dianugerahkan dengan Nobel Prize kerana setelah 10 tahun sepatutnya dunia akui bahawa tindakan beliau adalah bukti kepada penyelesaian sebuah krisis ekonomi. Atau sekurang-kurangnya Kerajaan Malaysia sekarang memberi penganugerahan yang sewajarnya.
Post a Comment