Friday, November 21, 2008

Tun Mahathir Buktikan Pemimpin Melayu hebat diDunia

Tun M bukti pemimpin Melayu hebat di dunia

Kejayaan negara menangani krisis kewangan dunia yang turut melumpuhkan sektor perbankan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah pada tahun 1997 dengan formula tersendiri membuktikan bahawa pemimpin Melayu hebat dalam bidang ekonomi dan politik.

Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, formula yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dikritik hebat bukan sahaja AS tetapi juga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia ketika itu, kini mula diguna pakai oleh mereka.

Menurutnya, adalah tidak wajar orang Melayu dicemuh serta dipersenda oleh pihak lain seolah-olah sudah hilang punca dan maruah kerana mereka telah terbukti berjaya melaksanakan pemerintahan dan kepimpinan yang diakui terbaik oleh dunia.

"Orang Barat sekarang meniru formula ekonomi Dr. Mahathir dalam menghadapi krisis kewangan dunia. Itu menunjukkan kehebatan pemimpin Melayu dalam bidang ekonomi.
"Dalam erti kata lain, orang Melayu berjaya melaksanakan pemerintahan, kepimpinan bukan hanya dalam negara tetapi juga dunia dan kita akan terus menjadi yang terbaik dari semasa ke semasa," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kursus Sijil Pengurusan Industri Perancangan (CPIM) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Tajuddin diminta mengulas mengenai saranan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim supaya politik Melayu diperkukuh dan diperkasa melalui penyatuan kaumnya yang ramai bagi mengelak daripada terus dicemuh dan dipersenda oleh pihak lain yang hendak mengambil kesempatan.
Rais yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengingatkan orang Melayu bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada konsep ketuanan kerana ia lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.

Menurut Tajuddin, kenyataan Rais itu perlu ditafsirkan dengan lebih meluas supaya tidak timbul tanggapan bahawa orang Melayu terlalu lemah sehingga tidak mampu melakukan apa juga perkara termasuk memimpin negara.

"Bercakap tentang konsep ketuanan, jangan beri tafsiran yang tak betul, itu akan melemahkan bangsa kita secara mental. Kita tidak mahu ia berlaku sedemikian," katanya.
Beliau menambah, orang Melayu termasuk pemimpin mesti terus menguasai ilmu pengetahuan kerana ia akan menjamin kaum itu untuk terus berjaya dalam apa juga bidang.

No comments: