Sunday, December 4, 2011

Ucapan Penggulungan Presiden UMNO YAB DS NAJIB 2011




Sokongan Orang Melayu Dan Kaum Lain Penting Untuk UMNO

KUALA LUMPUR, 3 Dis - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan UMNO tidak pernah mengetepikan perjuangan untuk mengangkat agenda kaum Melayu dan Bumiputera, tetapi pada masa yang sama masih memerlukan sokongan kaum lain untuk memastikan kelangsungannya sebagai sebuah parti.

Perdana Menteri berkata pelaksanaan 1Malaysia, gagasan yang dipromosikannya, tidak bermakna komitmen UMNO untuk memperjuangkan agenda Melayu akan terabai, kerana gagasan itu diperkenalkan untuk memastikan sokongan semua kaum di negara ini.

"Bila turun ke bawah, ke ladang, ke estet, ke kampung baru Cina, bukan bererti bahawa saya kurang komitmen untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

"Saya lakukan perkara ini sebab kita mesti menentukan bahawa negara Malaysia kita ini mendapat sokongan daripada semua kumpulan etnik, kerana masa depan UMNO juga bergantung kepada sokongan daripada orang-orang lain," katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2011, sekaligus mengakhiri perhimpunan lima hari parti itu.

Najib berkata sebagai pemimpin kerajaan, beliau perlu memikirkan hala tuju negara agar rakyat yang sentiasa menilai, baik secara senyap mahupun terbuka akan terus berasa yakin dan percaya terhadap kepimpinan sedia ada.

Untuk itu, katanya, perancangan yang cukup rapi, teliti dan kemas perlu dibuat untuk memastikan dalam masa 10 tahun lagi, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi di bawah pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Alhamdulillah dengan adanya pelancaran dan pelaksanaan sedemikian, bila ekonomi Eropah merudum, bila (ekonomi) Amerika Syarikat dalam keadaan tidak menentu, kita di Malaysia, Alhamdulillah ekonomi kita ini mampan dan stabil dan dapat menunjukkan pertumbuhan yang baik," katanya.

Dalam ucapan penggulungannya, Perdana Menteri berkata para perwakilan telah mengarap dengan baik empat objektif yang ditetapkan beliau pada permulaan perhimpunan itu.

Objektif pertama ialah beliau mahukan perhimpunan itu menggambarkan UMNO satu parti yang ampuh dan bersatu serta menyakinkan berjuta rakyat dan pengundi bahawa UMNO adalah sebuah keluarga dan sebuah organisasi politik serta teras politik tanah air dalam keadaan kukuh dan padu.

Objektif kedua pula, beliau mahukan perhimpunan itu membuktikan UMNO sebagai sebuah parti bermaruah dan berada dalam tahap kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya.

"Objektif ketiga, saya ingin supaya melalui perhimpunan ini kerajaan mendapat sokongan gagasan kita untuk membawa perubahan yang besar kepada negara kita yang kita gagaskan sebagai pelan transformasi nasional," katanya.

Katanya tujuan perhimpunan itu juga adalah bagi mendapat mandat sepenuhnya daripada perwakilan untuk menjayakan pelan transformasi berkenaan.

Dalam objektif keempatnya, beliau mahukan perhimpunan itu menjadi pengisian dan memberi isyarat serta mesej yang jelas bahawa 12.4 juta pengundi dan 28 juta rakyat Malaysia boleh meletakkan keyakinan bahawa UMNO akan membawa negara dan rakyatnya ke arah masa depan yang lebih cemerlang.

Najib berkata perhimpunan kali ini juga telah mencipta satu sejarah apabila ia diakhiri dengan satu ikrar atau bai'ah yang diketuai oleh timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin bertujuan untuk sumpah setia dan taat kepada parti dan pemimpin.

Najib berkata semua anggota parti haruslah insaf dan sedar bahawa mereka tidak mempunyai pilihan lain kerana jika UMNO tewas dan tersungkur, maruah agama dan bangsa juga turut binasa.

"Ini tanda transformasi besar parti telah bermula, pada detik saat ini, ketika bersejarah ini dalam dewan ini, ambillah seruan Allah (swt).

"Hendaklah kita bersiap sedia dengan segala kekuatan yang ada, lengkap diri masing-masing, turun kemedanjuang sebagai satu saf yang padu, pasukan yang kukuh, barisan yang kuat dan jemaah yang ampuh", katanya.

No comments: