Thursday, October 18, 2012

Saifuddin Nasution Setiausaha Agung PKR Anti SUARAM????





KUALA LUMPUR 14 Okt. - Kerajaan Indonesia pernah meminta kerajaan negara ini memantau kegiatan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) kerana pertubuhan tidak berdaftar itu dipercayai cuba menggugat keharmonian negara tersebut pada lewat 90-an.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah, Zamil Ibrahim (gambar) mendedahkan, campur tangan pertubuhan propembangkang berkenaan terhadap isu Timur Timor mengakibatkan Indonesia kehilangan wilayah tersebut dengan wujudnya sebuah negara Timor Leste.

Katanya, Suaram dalam kaitan dengan isu kemerdekaan Timor Leste itu banyak mengaturkan program, bengkel dan mesyuarat serta meminta campur tangan dunia luar terutama dari Barat.

"Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution bersama beberapa Exco Pemuda UMNO pernah menceroboh sebuah hotel di Kuala Lumpur kerana marahkan Suaram sebab menggugat hubungan baik Malaysia dan Indonesia.

"Ketika itu, Saifuddin yang merupakan Setiausaha Pemuda UMNO membuat serbuan kerana Suaram mengadakan program berhubung isu Timur Timor di Malaysia. Walau bagaimanapun, beliau ditangkap kerana menceroboh. Saifuddin boleh sahkan perkara ini," dakwanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kecaman pelbagai pihak terhadap Suaram ekoran pendedahan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pertubuhan itu menerima dana lebih RM0.5 juta daripada penyangak mata wang berketurunan Yahudi, George Soros antara 2007 hingga 2010.

Jelas Zamil, kebanyakan individu yang terlibat dalam tindakan menggugat kestabilan negara jiran berkenaan pada ketika itu kini menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama di Selangor selain memegang jawatan dalam PKR.

Sehubungan itu, kata beliau, rakyat Indonesia perlu mengetahui pihak yang pernah menggugat kestabilan negara mereka kini berada dalam parti yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim, individu yang dipuja di negara tersebut.

"Saya hairan sebab penderitaan umat Islam di Mindanao, Rohingya, selatan Thailand dan Gaza tidak pula terdapat dalam agenda Suaram.

"Saya tidak terkejut jika fail-fail yang dimahukan kerajaan daripada Suaram boleh berada di Timor Leste kini," katanya.

Zamil turut mencabar pemimpin pembangkang yang pernah menentang Suaram terutamanya Saifuddin sendiri menafikan dakwaan beliau tersebut.

Pada masa sama, beliau meminta kerajaan tidak memandang remeh keterlibatan Suaram dalam pelbagai isu melibatkan keselamatan negara. - Utusan Malaysia

No comments: