Sunday, February 17, 2013

PAKATAN 'Caca-Marba' Tanpa Hala Tuju



KUALA LUMPUR 17 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak membidas pakatan pembangkang dianggotai Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang disifatkannya sebagai kerjasama 'caca-marba' tanpa mempunyai hala tuju perjuangan jelas.

Menurut Perdana Menteri, ini terbukti apabila Pas memperjuangkan aspirasi penubuhan negara Islam, DAP mahukan konsep 'Malaysian-Malaysia' dan PKR pula semata-mata mengimpikan jawatan Perdana Menteri diberikan kepada pemimpinnya.


 Oleh demikian, kata beliau, adalah penting bagi rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini untuk terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan negara terus stabil, harmoni dan beroleh kejayaan lebih cemerlang pada masa hadapan.

"Pepatah Cina ada mengatakan 'jika kita bersendirian, mudah untuk orang memecahbelahkan tetapi jika bersatu, tiada siapa dapat memecahkan kesatuan itu.


"Orang Melayu ada menyebut caca-marba. Jika kita perhatikan sebelah sana (pembangkang), mereka caca-marba apabila satu nak buat negara Islam, satu cakap tentang 'Malaysian Malaysia' dan satu lagi siang dan malam mengimpikan jawatan Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Festival Sambutan Tahun Baharu Cina 2013 dan Pelancaran Yee Sang Terpanjang di Malaysia di Jalan Bukit Bintang di sini hari ini.

Yang hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta beberapa menteri Kabinet.

Dalam pada itu, katanya, kejayaan Malaysia selama ini banyak bergantung kepada dasar integrasi yang diamalkan kerajaan selepas merdeka, berbanding konsep asimilasi yang dilaksana di beberapa negara lain.

Selain China, katanya, Malaysia merupakan satu-satu negara di dunia yang bukan sahaja membenarkan penubuhan sekolah vernakular Cina, malahan kerajaan turut memberikan peruntukan bagi menjayakan sekolah aliran berkenaan.

Menurut beliau, komuniti peniaga Cina turut merasai nikmat dasar-dasar kerajaan selama ini dan memperoleh kejayaan dalam bidang masing-masing.


"Namun, kita ingat sewaktu seseorang menjadi Menteri Kewangan pada 1997 (Datuk Seri Anwar Ibrahim), ekonomi kita hampir musnah dan yang turut terkesan ialah peniaga Cina, mujur ada Tun Dr. Mahathir menyelamatkan kita ketika itu," katanya.

Sementara itu, Najib dan hadirin kenamaan lain kemudiannya menyertai kira-kira 20,000 hadirin pelbagai kaum menggaul yee sang terpanjang di Malaysia iaitu 977 meter yang disediakan 69 tukang masak profesional serta diiktiraf dalam Malaysia Book of Records.

Acara itu turut menyaksikan 333 peserta melakukan tarian singa secara serentak sewaktu menyambut ketibaan Najib.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130218/po_02/Pembangkang-caca-marba-tanpa-hala-tuju#ixzz2LDPPTz3d
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Pembangkang 'caca-marba' tanpa hala tuju

No comments: