Saturday, September 14, 2013

Tahniah Ds Najib Angkat 7 Wasiat Raja2 Melayu

SHAH ALAM 14 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak melakar satu anjakan besar dalam agenda membela serta meningkatkan taraf kehidupan kaum bumiputera apabila beliau melancarkan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang merangkumi lima fokus utama di Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.

Sambil merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia terutama masyarakat Melayu dan bumiputera yang memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Perdana Menteri mengingatkan bahawa usaha tersebut merupakan agenda nasional yang sangat mustahak untuk difahami dengan baik oleh semua pihak.

Ini kerana ujarnya, jika kaum majoriti bumiputera tidak dibela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan serta kestabilan apatah lagi untuk mencapai impian negara maju yang sejahtera pada tahun 2020.

"Melayu dan bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya, sebarang prakarsa (inisiatif) bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Melayu serta bumiputera adalah tidak adil dan saksama."

"Hatta, sejarah telah membuktikan dalam pembangunan ekonomi negara terutamanya sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan bumiputera bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama hasil pembangunan ekonomi negara," katanya dalam ucapan pelancaran agenda itu di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri-Menteri Kabinet dan Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Perdana Menteri turut memetik Tujuh Wasiat oleh sembilan raja-raja Melayu semasa memperkenankan perjanjian kemerdekaan untuk menubuhkan sebuah Persekutuan.

Wasiat tersebut adalah seperti berikut;"Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain".

Kata Najib, wasiat tersebut sangat terang lagi bersuluh yang menyatakan tentang ekuiti dan pemilikan orang Melayu dan kemudiannya diperluaskan kepada kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan terbentuknya Malaysia 50 tahun lalu.

"Secara tulus ikhlas saya meminta kepada semua pihak agar jangan bersalah sangka atau sesekali bersalah faham tentang pemerkasaan ekonomi bumiputera ini," ujar beliau.

Tegas Perdana Menteri, sesungguhnya inisiatif dan haluan besar itu dilakukan bukan dengan jalan memintas, tidak dengan cara mengambil hak orang lain mahupun menafikan kepentingan sesiapa.

Sementara itu beliau berkata lima fokus yang terkandung di dalam Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ialah

1) Mendaya modal insan bumiputera

2) Memantapkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat

3) Memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan bumiputera

4) Memperhebat keusahawanan dan perniagaan bumiputera

5) Memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan

Dalam ucapannya beliau turut mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera.

"Majlis ini akan dipengerusikan oleh saya sendiri dan Timbalan Pengerusinya adalah Timbalan Perdana Menteri dengan keanggotaan beberapa menteri berkenaan."

"Keahliannya bersifat kompak di mana pelbagai badan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang relevan akan diundang. Majlis yang penting ini akan bersidang sekurang-kurangnya sekali sebulan dan jika perlu lebih daripada itu," katanya.

Perdana Menteri pada akhir ucapannya meminta orang Melayu dan bumiputera tidak perlu bimbang dan gundah-gulana kerana katanya selagi ada bulan dan bintang, selagi hayat dikandung badan survival Melayu dan bumiputera akan tetap menjadi keutamaan serta pelita perjuangan sampai bila-bila.

"Akhir kalam, saya berikrar akan terus beristiqamah memperkasakan ekonomi Melayu dan bumiputera. Mudah-mudahan dengan izin dan ketentuan Allah jua, semuanya akan tercapai," ujarnya lagi.

Artikel© Utusan Melayu (M) Bhd 

Fokus Pemerkasaan Pertama :

MENDAYA MODAL INSAN BUMIPUTERA

Memperbanyakkan Program Latihan Peningkatan Kemahiran
Mempergiatkan Program Latihan Semula atau Re-Skilling.

Mempergiatkan Skim Latihan 1Malaysia, Program Kebolehpasaran Graduan dan Program Peneraju Skil.

Memperluaskan Program Pendidikan Lepas Ijazah melalui Jabatan Perkhidmatan Awam, MARA dan agensi berkaitan Program Peneraju Profesional di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) diperluaskan.

Fokus Pemerkasaan Kedua :

MEMANTAPKAN PEMILIKAN EKUITI BUMIPUTERA DALAM SEKTOR KORPORAT

Melancarkan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) dengan suntikan pelaburan 10 bilion unit saham.

Mentransformasikan program Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) melalui Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS).

Fokus Pemerkasaan Ketiga :

MEMPERKUKUH PEMILIKAN ASET BUKAN KEWANGAN BUMIPUTERA

Memperkemaskan Yayasan Wakaf Malaysia Memperkukuhkan peranan institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Berhad(PHB), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi membangun dan memperoleh hartanah komersil dan industri.

Memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik kepada Bumiputera melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan Kerajaan Negeri.

Perkukuhkan UDA Corporation untuk membangunkan hartanah.GLC yang terlibat dalam pembangunan hartanah memberi penekanan kepada pembangunan hartanah Bumiputera.

Fokus Pemerkasaan Keempat:

MEMPERHEBATKAN KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN BUMIPUTERA

Memperkuatkan peranan agensi pembangunan usahawan Bumiputera seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, MARA dan PUNB.

Menambah pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM300 juta.

Menambah pembiayaan pinjaman kepada TEKUN Nasional sebanyak RM700 juta.
Mengarahkan kementerian dan agensi mengukuhkan Program Pembangunan Vendor Memastikan jangkamasa kontrak dan konsesi vendor disesuai dengan tempoh bayar balik pinjaman bank.

Melonjakkan program VDP di bawah PETRONAS, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM), Axiata dan United Engineers (Malaysia) Berhad (UEM) Ketua Pegawai Eksekutif GLC menetapkan sasaran penyertaan Bumiputera sebagai KPI.

Program VDP PETRONAS RM20 bilion setahun dan 22 skop kerja untuk Bumiputera. GLC dan GLIC menerajui usaha mengwujudkan konsortium syarikat Bumiputera dalam sektor rangkaian perbekalan.

Mempergiatkan program penswastaan perkhidmatan Kerajaan secara terpilih
Memperluaskan dasar carve out.

Membina satu komuniti baru entrepreneur Bumiputera. Memperkenalkan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB).

Fokus Pemerkasaan Kelima:

MEMANTAPKAN EKOSISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN

Mewujudkan ekosistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, komprehensif dan konstraktif Mewujudkan Unit Pembangunan Bumiputera (UPB) di semua kementerian.

Meningkatkan enrolmen pelajar UiTM kepada 250,000 menjelang 2020.
Menubuhkan beberapa kampus baru UiTM.

Menubuhkan dana pendidikan MARA berjumlah RM1 bilion. Membestarikan TERAJU Mewujudkan komuniti entreprenuer Bumiputera. Meletakkan INSKEN dan SUPERB di bawah TERAJU
Menubuhkan Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera

TAHNIAH PADA BARISAN KEPIMPINAN NEGARA DI BAWAH YAB DS NAJIB.

No comments: