Thursday, September 12, 2013

"Tolak Warlord Atau Demang Politik"

SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar senada dengan Naib Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan perwakilan parti menolak pemimpin “warlords” atau “demang politik” pada pemilihan Umno Oktober depan. 

Beliau berkata jawatankuasa pemilihan Umno akan menyaring golongan ini sekaligus memastikan pemilihan kali ini diadakan secara telus. "Warlords" atau "demang politik" adalah mereka yang membolot wang dan kuasa serta memainkan peranan menentukan kalah menang seseorang calon yang bertanding. 

"Saya sokong apa yang Datuk Seri Zahid cakap. "Matlamat kita mengadakan jawatankuasa pemilihan adalah untuk menghapuskan semua sekali politik wang.

Oleh demikian ini satu cara yang boleh dibuat dan kita berharap ahli Umno seluruh negara terutama sekali perwakilan-perwakilan di peringkat bahagian nanti mengikuti dan menyokong proses transformasi dalam Umno. 

"Inilah matlamat sebenar perubahan dalam perlembagaan kita dan jawatankuasa pemilihan," kata beliau pada sidang akhbarnya di bangunan Umno Selangor, petang tadi. 

Antarapos semalam melaporkan Zahid sebagai berkata masalah demang dalam Umno telah lama menjadi duri dalam daging. Zahid berkata golongan ini hanya mampu disisihkan jika kesemua perwakilan memilih pemimpin dengan telus dan bukannya memenangkan mana-mana calon setelah 'dibayar' oleh demang politik. 

Abu Hassan ketika ditanya pemberita adakah budaya politik wang serta demang politik ini telah lama menular dalam Umno, ini jawapan bekas menteri besar Selangor itu. 

"Sebelum ini, mungkinlah. Sebab itu kita buat cara baru untuk ubah," katanya. 

Mulai tahun ini, Umno melaksanakan sistem pemilihan baru yang memberikan kuasa secara langsung kepada hampir 150,000 perwakilan akar umbi untuk memilih anggota Majlis Tertinggi.  

Barisan kepimpinan Umno sebelum ini ditentukan oleh kira-kira 2,500 perwakilan sahaja yang dilihat menjadi sasaran mudah untuk sesiapa menggunakan wang bagi memenangi jawatan.

No comments: