Sunday, September 7, 2014

UMNO Perlu Giat Usaha Perjuangan Di Bandar Untuk Tarik Golongan Muda -Kh...


  

JOHOR BAHARU, 6 Sept – UMNO perlu menggiatkan usaha dalam perjuangan politik di kawasan bandar untuk menarik lebih banyak sokongan dalam kalangan rakyat terutamanya golongan muda.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata tumpuan di kawasan bandar perlu ditingkatkan memandangkan kebanyakan pengundi baru pada pilihan raya akan datang terdiri daripada orang muda yang tinggal di bandar.

“Kita tidak boleh menganggap kawasan bandar adalah kawasan yang tidak dapat dimenangi oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN). Mentaliti UMNO tidak perlu menitik beratkan usaha di bandar perlu dikikis.

Ada orang kata kita (UMNO) tidak mampu menang di kawasan bandar dan ibu kota negeri. Ada yang kata UMNO hanya kuat di kampung-kampung dan sekadar menjadi ‘jaguh kampung’,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Johor Baharu, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Ketua Pemuda UMNO Johor Hahasrin Hashim.

Khairy berkata UMNO kini perlu mencari pendekatan terbaik dalam memenangi hati ‘orang bandar’ memandangkan berdasarkan kajian yang dilakukannya terdapat 65 hingga 70 peratus daripada empat hingga lima juta pengundi baharu pada pilihan raya umum akan datang merupakan mereka yang tinggal di bandar.

Beliau berkata usaha juga bukan sahaja perlu digiatkan di kubu-kubu tradisi Umno malah di kawasan hitam yang dianggap tidak boleh dimenangi oleh UMNO dan BN.

“Pengundi memang tidak semestinya daftar di bandar kerana ada yang berdaftar di kampung halaman mereka. Namun, oleh kerana mereka tinggal di bandar, jadi, kita mesti sediakan perkhidmatan yang terbaik,” katanya sambil menambah kemenangan Parlimen Johor Baharu pada pilihan raya lepas sebagai bukti UMNO dan BN masih relevan dan diterima masyarakat bandar.

Sementara itu, Khairy mengingatkan mana-mana pihak yang mendesak pemansuhan Akta Hasutan 1948 tanpa menggantikannya dengan suatu akta baharu supaya memikirkan sensitiviti kaum dan kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau yang mahu pihak terbabit ‘berpijak di bumi yang nyata’ berkata konsep kebebasan yang diamalkan di negara ini perlu seiring dengan tanggungjawab supaya keharmonian antara kaum dapat dikekalkan.

“UMNO memang konsisten dari dahulu lagi iaitu perlunya dikenakan tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyentuh sensitiviti kaum, raja dan agama yang bukan sahaja yang menghina Islam tetapi mana-mana agama sekalipun kerana itu kunci keamanan hari ini,” katanya
.

No comments: