Monday, April 20, 2015

Hang Tuah atau Hang Jebat?


Malam ini tertarik saya mengenai laksamana melayu yg hebat,

Kisah Hang Tuah dan Hang Jebat, Siapa benar ? 

Ramai ada pendapat berbeza mengenai tajuk di atas, kita perlu melihat 'Perjanjian Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba' terlebih dahulu. Perjanjian ini dibuat sebelum kedatangan Islam ke Melaka. 

Perjanjian di antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba adalah satu ikatan perjanjian yang melahirkan konsep bersultan dan berhamba dalam masyarakat Melayu Beraja (Darmabakti, 1990). Konsep perjanjian itu adalah daulat dan derhaka di mana rakyat tidak derhaka kepada raja walaupun raja itu zalim dan jahat. Begitu juga halnya dengan Raja, tidak berbuat zalim kepada rakyat. Seperti yang tercatat dalam Sejarah Melayu :

"Barang siapa mengubahkan perjanjian itu dibalikkan Allah bumbung-nya ke bawah, kaki tiangnya ke atas,"


Perjanjian Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba seperti yang dicatatkan dalam Sejarah Melayu adalah seperti berikut :

Sembah Demang Lebar Daun : "Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertua: hendaklah ia diperbaiki  oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat: jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak,"

Titah Sang Sapurba : "Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada cucu kita, jikalau zalim dan jahat sekalipun,"

Maka sembah Demang Lebar Daun :
"Baiklah Tuanku, tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah,"

Apa yang kita boleh simpulkan daripada perjanjian di atas adalah, Raja tidak boleh berbuat zalim kepada rakyatnya, begitu juga dengan rakyat, rakyat mesti patuh dan taat setia kepada Raja walaupun Raja itu zalim atau jahat. Apabila Hang Tuah difitnah oleh Pati Karma Wijaya, Sultan Melaka tanpa usul periksa telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada Hang Tuah. 


Pada saat inilah muncul Hang Jebat bangkit menuntut keadilan. "Raja Adil Raja disembah, Raja Zalim Raja disanggah," Berbalik kepada perjanjian di atas, ternyata Raja yang dahulu telah mengubahnya, tanpa usul periksa, baginda menjatuhkan hukuman bunuh kepada Hang Tuah walau pun sebelum ini Hang Tuah begitu setia dengan Sultan Melaka. 

Hang Tuah sanggup berkorban mempersembahkan kekasihnya iaitu Tun Teja kepada Sultan Melaka. Namun, Sultan tidak mengenang jasa-jasa Hang Tuah. Hang Jebat pula menuntut keadilan, mengamuk dan menyerang istana, sehinggakan Sultan menyesal dengan peristiwa itu. "Kalaulah Hang Tuah masih ada, sudah pasti kekacauan ini tidak akan berlaku," kata Sultan Melaka. Kemudian, Bendahara Melaka telah menjelaskan kepada Sultan bahawa Hang Tuah sebenarnya masih hidup. 


Selepas itu, Sultan memohon maaf kepada Hang Tuah dan menitahkannya agar membunuh Hang Jebat yang derhaka. Sebelum pertikaman di antara Hang Tuah dan Hang Jebat, Hang Tuah cuba memujuk Hang Jebat supaya memohon maaf kepada Sultan.

"Di daku tak ada erti menyesal Tuah. Aku berbuat atas keyakinanku, sebab Tuah atas nama persahabatan dan persaudaraan kita dan untuk apakah kesal itu bagiku kalau ia akan berbalik pula padamu kalau nanti kau akan membunuhku? Ya, barangkali benar kematianku ditanganmu, Apakah yang akan ku kesalkan pula, malah kalau nanti aku pula yang membunuhmu? pahlawan yang berbuat atas keyakinannya, percayalah Tuah, aku tak pernah menyesal," Kata Hang Jebat.

"Baiklah Hang jebat derhaka, aku tahu kau memang begitu dan untuk itu bukalah pintu supaya aku boleh naik dan bertikam denganmu," Jawab Hang Tuah.

"Engkau tidak berdosa memang ku akui Tuah, tapi taat setiamu itu menyebabkan aku tertawa dan begitu anehnya ku rasakan sekarang ketika orang yang menitahkan kematianmu kau junjung dengan segala kerelaan: seperti kau menjunjung titahnya sekarang untuk membunuh orang yang membela kematianmu," sahut Hang Jebat. 

"Aku datang tidak untuk mempertengkarkan siapa membela dan siapa menitahkan, aku datang untuk menentukan, menghukum, yang diwakilkan padaku untuk baginda menamatkan hidupmu yang telah derhaka," Hang Tuah melompat ke dalam. Kemudian, pertikaman telah tercetus di antara mereka berdua. Akhirnya, Hang Jebat rebah ditusuk Hang Tuah dengan keris Taming Sari.

Pada zaman sekarang, ajaran Agama Islam adalah tunggak dalam kehidupan, di mana Allah s.w.t adalah tempat kita memohon perlindungan dan menumpahkan taat setia kepada-Nya. Hang Jebat telah melangkaui zaman, sedangkan perjanjian itu hanyalah dibuat sebelum kedatangan Islam. 

Oleh itu, dalam hal ini untuk menentukan siapa benar dan siapa salah, biarlah kita menjawab dengan "Mata Hati" kita. Semoga kita mendapat pengajaran dan iktibar daripada kisah ini.


Siapa dalam diri kita Hang Tuah Atau Jebat?

Rujukan :

A. Samad Ahmad (2008). Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Darmabakti (1990). Sejarah Melayu. Negeri Sembilan : Minerva Publications.

Mana Sikana (1984). Keris Laksamana Bentan. Selangor : Penertbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.



Post a Comment