Thursday, April 21, 2011

Perpaduan Nasional – Antara Realiti Rakyat dan Fantasi Politikus


Perpaduan Nasional – Antara Realiti Rakyat dan Fantasi Politikus

Salah satu agenda utama perjuangan rakyat Malaysia adalah berkenaan ‘Perpaduan Nasional’. Sering kali apabila para cendekiawan, mahasiswa dan orang awam ingin membincangkan perkara ini dengan sihat ada sahaja suara-suara sumbang yang menegah daripada meneruskannya atas dasar menjaga sensitivi perkauman. Logik yang digunakan para penentang ini adalah jikalau isu ini terus dibincangkan maka sensitiviti perkauman akan menjadi tidak stabil sehingga boleh menimbulkan konflik yang dahsyat dan seterusnya menjadikan negara ini tidak aman.



Benarkah putar alam isu perpaduan nasional ini bersifat begitu? Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan perkataan ‘negara’ itu sendiri? Apakah erti perpaduan nasional yang tulen?

Ramai antara rakyat kita terutamanya setelah dipengaruhi oleh mainan politik para politikus yang mengamalkan politik perkauman radikal telah mewujudkan suasana kekeliruan yang bingit dalam masyarakat kita.



Sejak 1950-an lagi, melalui penilitian yang kemas dan tajam, Profesor Syed Naquib Al Attas mendapati para pemimpin masyarkat kita pada waktu itu sering kali tersilap faham makna sebenar sebuah negara bangsa. Beliau juga mendapati makna negara bangsa yang menjadi tunjang pembentukkan Negara Malaysia ini tidak dijelaskan dengan baik kepada rakyat.

Natijah daripada kekeliruan para pemimpin dahulu, konsep-konsep penting yang mampu menjelaskan makna perpaduan nasional tulen menjadi kabur sehinggalah pada hari ini menjadi lebih parah apabila arus pemikiran moden bertiup kencang ke arah kepompong intelektual yang wujud dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pandangan alam (world view) yang keliru terhadap para pemimpin politikus dan lebih parah cendekiawan kita sendiri.



Profesor Al-Attas membuat analogi bahawa proses pembentukkan sesebuah negara bangsa itu sama seperti pembentukkan sebuah rupa bentuk batu. Jikalau batu tersebut di biarkan di laut dan darat, masing-masing akan memperolehi bentuk yang berbeza selepas melalui tindak balas fizikal dan kimia yang berlaku dalam tempoh yang lama.


Jikalau seorang pengukir menjumpai batu tersebut dan bersiap sedia untuk mengukir rupa bentuk yang baru kepada batu tersebut, sudah tentu si pengukir tersebut mempunyai autonomi menyeluruh dalam membentuk rupa baru batu tersebut dan juga dalam menentukan jangka masa untuk menyiapkan proses pengukirannya.



Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Wan Azhar Wan Ahmad menjelaskan bahawa jikalau perpaduan nasional disamakan seperti batu tersebut, maka perkara terbaik yang boleh kita lakukan adalah dengan bersama-sama kita menjadi seorang pengukir yang berkerjasama secara cermat dalam mencapai perpaduan yang diharapkan.



Pengertian negara bangsa mengikut Al-Attas dapat dirujuk melalui sentimen yang berupa solidariti, kebersamaan dan juga kesatuan iaitu mempunyai aspirasi yang mampu dikongsi bersama oleh semua ahli komuniti yang turut boleh diterjemahkan sebagai satu kerja sama dibawah prinsip-prinsip yang disepakati dalam mewujudkan sebuah negara bangsa yang kondusif untuk menghadapi pelbagai jenis cabaran pada masa kini dan mendatang.

Tetapi kita perlu tanya lebih jauh bahawa apakah yang sebenarnya perpaduan yang kita inginkan? Disini Prof. Al-Attas membahagikan perpaduan kepada dua jenis iaitu satunya perpaduan berupa pepejal (solid unity) dan satu lagi perpaduan berupa cecair (liquid unity).

Secara metafizik, definisi perpaduan yang berupa pepejal itu dapat digambarkan seperti mempunyai tiga batang besi yang disusun rapat dalam satu ikatan tali yang kemas menghasilkan satu bentuk objek baru yang mengandungi ketiga-tiga batang besi tersebut.



Maka ‘perpaduan’ ketiga-tiga batang besi tersebut bergantung kepada tali yang mengikatnya. Jikalau tali tersebut putus ataupun hilang maka perpaduan tersebut akan berkecai.Perpaduan yang berupa cecair boleh juga diertikan menggunakan konsep ketiga-tiga batang besi tersebut cuma bezanya pada kali ini ketiga-tiga batang besi tersebut diikat dengan wayar besi dengan kemas. Setelah diikat dengan kemas, bongkah besi yang terbentuk melalui ikatan kemas ketiga-tiga batang besi tersebut dimasukkan kedalam api yang kuat sehingga mencairkan bongkah besi tersebut menjadi sejenis cecair. Setelah cecair itu mengeras, satu entiti baru akan muncul dan menjadikannya kekal sebegitu melainkan jikalau dipanas semula dengan kuat.


Maka analogi yang dijelaskan menerangkan bahawa untuk melahirkan perpaduan dalam sesebuah negara bangsa, perlunya elemen yang khusus dalam menyatu padukan rakyat negara bangsa yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama.


Di sini Profesor Al-Attas telah menggariskan bahawa perpaduan sesebuah negara bangsa itu diasaskan sekurang-kurangnya melalui kesatuan tiga daripada empat perkara iaitu agama, bangsa, sejarah politik, dan bahasa. Gabungan daripada kesemua elemen ataupun tiga daripadanya mampu menghasilkan perpaduan jenis cecair yang digambarkan di atas.


Dr Wan Azhar mengupas persoalan perpaduan jenis cecair ini dengan mengambil contoh kesatuan bangsa Arab. Walaupun tidak semua daripada mereka Muslim (terdapat Kristian Koptik, Yahudi) tetapi perpaduan yang wujud atas nama bangsa Arab itu telah lama berlaku. Ini adalah kerana mereka berkongsi tiga daripada empat elemen tersebut iaitu mereka mempunyai identiti bangsa yang sama, menggunakan bahasa yang sama, dan juga mempunyai sejarah politik yang sama. Agama tidak diambil kira dalam konteks kesatuan bangsa Arab yang terdiri daripada pelbagai agama.


Begitu juga dengan orang Switzerland yang berkongsi elemen yang sama seperti agama Krisitan, sejarah politik dan juga semangat kebangsaan Eropah. Bahasa bukan faktor utama kesatuan mereka kerana di Switzerland terdapat empat jenis bahasa kebangsaan yang digunakan secara meluas iaitu Jerman, Perancis, Itali dan juga Romansch.



Dalam konteks negara kita Malaysia yang mempunyai pelbagai jenis kaum dan agama, keempat-empat elemen yang digariskan tadi tidak mampu dijadikan faktor yang kukuh dalam mencapai perpaduan nasional. Dari segi agama kita sedia maklum kaum Melayu secara umumnya merupakan orang Islam, kaum Cina majoritinya beragama Buddha dan kaum India pula secara amnya beragama Hindu.


Begitu juga dari segi faktor sejarah politik. Kaum Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini tidak mempunyai pertalian sejarah politik yang sama dengan kaum Cina dan India yang datang dari tanah besar masing-masing pada satu ketika dahulu.



Jadi bagaimanakah kita hendak melahirkan perpaduan Nasional dalam situasi sebegini? Profesor Al-Attas dalam siri syarahan Radio Malaya yang berlangsung pada tahun 1959 telah menggariskan bahawa elemen keempat yang berupa Bahasa Melayu (kini Malaysia) sebagai Bahasa Kebangsaan boleh menjadi asas segera dengan dibantu oleh jentera perundangan bagi menyatukan pelbagai bangsa dan masyarakat di Negara ini. Peranan bahasa kebangsaan dapat dan patut dilaksanakan bukan sahaja melalui saluran pendidikan, malah politik, pentadbiran dan undang-undang.



Pendekatan ini merupakan antara cara yang paling berpotensi untuk mewujudkan perpaduan nasional kerana jiran kita Indonesia juga telah berupaya mewujudkan perpaduan yang diharapakan melalui dokongan Bahasa Indonesia sebagai elemen kesatuan berbagai kaum dan etnik yang wujud di Indonesia.

Lebih-lebih lagi para cendekiawan kita telah bersidang panjang bagi mewujudkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang dibincangkan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 di Universiti Malaya dengan membentangkan 80 kertas kerja dari seluruh pelosok negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Hasil daripada kongres ini telah dipersetujui dan disepekati oleh kerajaan, cendekiawan dan pemimpin masyarakat bahawa:

Kebudayaan kebangsaan hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal di rantau ini.
Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima dan
Islam menjadi unsur penting dalam pembetukan kebudayaan kebangsaan itu.



Mengikut penjelasan Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud yang telah dimuatkan di dalam buku beliau yang bertajuk Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru yang lebih Sempurna, Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebenarnya mengandungi unsur-unsur yang bukan sekadar berupaya mengekalkan jati diri dan ketunggalan peribadi kerakyatan Malaysia dan perpaduannya, malah mampu pula menerima semua unsur-unsur luaran yang sesuai dan wajar terutama dalam arus globalisasi yang mencabar ini.

Melalui pengamatan sejarah, kita dapat lihat betapa sebenarnya para cendekiawan negara kita ini sudah bersedia membawa rakyat Malaysia ke arah perpaduan nasional tersebut. Cumanya sering kali kita terlupa dan lebih parah apabila para politikus yang ada pada hari ini senantiasa bersikap dungu dalam memahami persoalan ini dengan lebih mendalam.



Perpaduan nasional hanya akan menjadi realiti jikalau rakyat bijak membezakan yang mana satu intan dan yang mana satu kaca hasil penelitian golongan ilmuan yang bertaqwa. Lebih dari itu hanyalah kata-kata fantasi milik golongan politikus dalam memikul agenda masing-masing

1 comment:

fikrah islamiah said...

Perpaduan nasional tidak mungkin berlaku melalui persatuan sebab orang kita tak minat berpesatuan, dan kedua kerana orang melayu suka bergaduh hal yang kecil.
Perpaduan hanya dengan agama Islam. kalau masing2 boleh dididik untuk taat kepada Allah, taat pemimpin dan peraturan Allah bersatulah kita walaupun tidak masuk mana-mana persatuan.