Sunday, August 24, 2014

Penjelasan YB Khairy Jamaluddin

Mesti ada yang sengaja nak mengambil kesempatan ekoran kenyataan saya yang dipetik media sepertimana di bawah. Tolong baca sepenuhnya komen saya sebelum mengulas.

Pertama, saya tidak percaya pada paksaan. Sebagai Menteri kita tidak boleh paksa sesiapa yang kerja di kementerian kita untuk menyokong kita. Apatah lagi penjawat awam. Kita kena hormati mereka sebagai profesional dan selagi mereka memberi kerjasama yang baik dan menyokong dasar kerajaan semasa (government of the day) dan tidak membawa apa-apa unsur politik dalam tugasan harian mereka, kita perlu kekalkan hubungan yang mesra dengan mereka.

Ada yang berpendapat bahawa penjawat awam mesti sokong parti kita. Kalau tak sokong parti kita, mereka patut dibekukan laluan kerjaya. Saya rasa ini tidak adil pada penjawat awam. Kita kena hormat prinsip keberkecualian penjawat awam atau civil service neutrality. Tugas mereka berbeza dengan pengangan politik mereka. 

Mungkin ada yang berfikiran konservatif yang tidak boleh terima pandangan saya ini. Bagi mereka, apa yang penting adalah kesetiaan total. Saya rasa pandangan sedemikian agak kuno pada zaman sekarang. 

Pendekatan saya berbeza. Saya tidak paksa sesiapa sokong parti saya. Sudah pasti saya mahu mereka sokong parti saya, tetapi lebih baik mereka sokong secara sukarela. Apa guna kita paksa mereka bersorak dan mengangkat banner sokongan kalau itu cuma satu lakonan? Kalau begitu, dalam pilihanraya nanti kita menang sorak, tapi kerajaan tergadai. Tetapi kalau kita menjalankan tugas dengan baik, penuh amanah dan rajin buat kerja, saya yakin mereka akan mempunyai tanggapan yang lebih positif pada kita. Inilah cara yang betul. Bukan politik paksa memaksa yang tidak menghasilkan sokongan hakiki pada kita.

Selepas ini mestilah ada yang cakap "KJ nak promote gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut, bla bla bla." Jangan cetek sangat. Saya dah kata, penjawat awam mesti jaga tataetika, kerahsiaan dan segala peraturan perkhidmatan awam. Kalau ada yang bocor maklumat atau yang membawa pegangan politiknya ke pejabat, boleh dan harus diambil tindakan. Tetapi bagi mereka yang profesional dan hanya mahu buat kerja berkhidmat untuk negara, janganlah kita ada sangkaan yang buruk pada mereka atau cepat label mereka.

Tiada siapa yang boleh baca hati manusia. Kalau kita paksa orang menyokong kita, tak tentu mereka sokong kita. Hanya melalui teladan kita sebagai pemimpin akan orang menilai kita. 

-----

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata beliau tiada masalah untuk mengambil penyokong Pakatan Rakyat berkerja dengannya sekiranya terbukti individu itu berkebolehan tinggi.

Katanya individu tersebut juga seharusnya bersikap profesional, boleh menyimpan maklumat-maklumat sulit serta patuh kepada kerajaan yang memerintah.

"Jika ada seseorang dari Pakatan yang terbukti lebih berkebolehan, satu-satunya perkata yang saya risaukan ialah maklumat sulit," katanya pada Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia (MSLS) kelapan bertema 'Malaysia: Getting On or Getting By' di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Menurut Ketua Pemuda UMNO itu, biar apapun fahaman politik yang dipegang, calon tersebut mestilah seseorang yang mampu mendokong amalan beretika di pejabat.

"Saya tidak kisah jika dia tidak menyokong saya atau parti saya. Saya juga boleh terima jika dia tidak sukakan saya tetapi saya tidak boleh terima jika dia membocorkan (maklumat sulit) atau tidak menghormati etika di pejabat.

"Kita tidak menyembunyikan apa-apa tetapi ada sesetengah perkara yang dianggap sensitif dan sesetengah maklumat yang dilihat sulit atas sebab-sebab keselamatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa terdapat calon dari Perdana Fellows yang mengkritiknya dalam laman media sosial, namun beliau tetap mengambil mereka bekerja percaya mereka mampu memberi sumbangan kepada negara.

Tambah Khairy, selagi calon-calon tersebut memberi khidmat kepada menteri dan kerajaan yang memerintah, ia dianggap 'sudah cukup baik'.

Anggota Parlimen Rembau itu menjawab soalan sama ada beliau ingin mengambil pelatih politik dari pembangkang sekiranya mereka lebih berkebolehan berbanding pelatih dari Barisan Nasional (BN).

Sidang kemuncak MSLS itu dianjurkan oleh United Kingdom & Eire Council of Malaysian Students (UKEC).

 — via Astro AWANI

Saya tidak kisah jika pekerja saya penyokong Pakatan Rakyat - KhairyIndividu tersebut juga seharusnya bersikap profesional, boleh menyimpan maklumat-maklumat sulit serta patuh kepada kerajaan yang memerintah.

astroawani.com

No comments: